Belum ada tandas pusat beli-belah dapat taraf lima bintang – Exco
PAYA RUMPUT 14 Januari – Kerajaan Negeri menegaskan kepada semua pemilik pusat beli-belah supaya memastikan kebersihan tandas di premis kendalian mereka mencapai taraf lima bintang.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, ia berikutan setakat ini masih belum ada tandas pusat beli-belah di Melaka mencapai penarafan lima bintang.
“Malah ada salah sebuah pusat beli-belah di bandar Melaka hanya mempunyai penarafan satu bintang, ini menunjukkan pemilik premis tidak mengambil kisah akan kebersihan kemudahan tersebut.
“Justeru kita akan adakan lawatan mengejut untuk pastikan pemilik premis melibatkan pihak swasta termasuklah di stesen minyak, surau-surau dan masjid supaya sentiasa menjaga kebersihan tandas.
“Pihak yang mengendali pusat beli-belah ini tidak mengambil kisah tandas di premis mereka, ini tidak elok bagi imej Melaka sebagai negeri pelancongan dikenali dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Isi Minyak Motor Percuma di Caltex Krubong, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Rais berkata, usaha itu bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu memastikan semua tandas yang ada di negeri ini berada dalam keadaan bersih.
“Kita cuma mahu pastikan kerjasama pihak awam dan swasta seiringan, kita beri penarafan bukan hanya kepada tandas awam, malah semua premis yang ada,” katanya.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, bagi menggalakkan inisiatif itu Kerajaan Negeri juga akan mengadakan Pertandingan Tandas Terbersih dalam masa terdekat.
“Dalam Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) ini saya mahu fokus kepada kawasan tumpuan pelancong. Contoh di pusat beli-belah, jadi kita akan mengadakan satu pertandingan tandas terbersih nanti, sekarang ini saya sedang berusaha mencari penaja pertandingan.
“Pemenangnya kita akan umumkan pada sambutan Hari Alam Sekitar Negara nanti,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.