Belum ada pengunjung Pasar Besar MBMB positif COVID-19
BUKIT PALAH 17 Jun – Kluster Jalan Tun Fatimah yang tercetus di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bachang seperti diumumkan semalam belum lagi mencatatkan kes positif COVID-19 membabitkan pengunjungnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat semalam, 31 kes positif yang direkodkan daripada kluster berkenaan hanya membabitkan peniaga dan pekerja pasar, serta ahli keluarga mereka.
Bagaimanapun, beliau meminta mana-mana pengunjung pasar berkenaan yang mula bergejala dan mempunyai simptom untuk melakukan ujian saringan secepat mungkin.
“Setakat ini kita sudah menjalankan saringan kepada 465 kontak rapat yang bukan sahaja melibatkan peniaga pasar dan kontak keluarga mereka, tetapi juga ada melibatkan pengunjung.
“Namun, belum ada kes positif COVID-19 melibatkan pengunjung direkodkan, tetapi kita minta sangat sekiranya ada pengunjung yang mempunyai simptom atau gejala untuk melakukan ujian saringan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Special Pusat Pemberian Vaksin (SPPV) Hospital Melaka di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Md Rawi Mahmud dan Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Ismail Ali.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, berikutan pertambahan kes positif COVID-19 dan jumlah kontak rapat yang dikenal pasti, penutupan Pasar MBMB akan dilanjutkan sehingga 23 Jun depan (Rabu) bagi tujuan saringan dan menjalankan kerja-kerja sanitasi.
“Benar, Pasar MBMB akan terus ditutup sehingga Rabu depan memandangkan kes positif yang sedang meningkat, selain saringan kontak rapat yang ramai dan ada keputusan saringan belum diperoleh.
“Kepada orang ramai, jika mahu mendapatkan bekalan makanan, bolehlah ke pasar-pasar lain yang berhampiran, contohnya, pasar borong, pasar nelayan dan juga pasar raya,” katanya lagi.
BERITA BERKAITAN:Â Pasar Besar MBMB cetus kluster baharu, 31 kes positif direkodkan
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.