BELON UDARA PANAS BAKAL HIASI LANGIT AYER KEROH
AYER KEROH 3 Januari – Orang ramai, pengunjung dan pelancong bakal dihidangkan dengan pemandangan menarik, apabila empat unit belon udara panas diterbangkan dari Dataran Sejarah Ayer Keroh pada pertengahan bulan ini.
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata pemandangan luar biasa itu adalah antara aktiviti menarik yang disusun pihaknya bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Perbandaran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Ke-15.
Sapiah berkata, bukan sekadar untuk mewarnai langit Melaka, malah orang ramai juga boleh mencuba perkhidmatan itu yang dibawa khas ke Ayer Keroh.
“Bagi yang berhajat menikmati pemandangan sekitar Ayer Keroh dari udara boleh datang ke Dataran Sejarah untuk merasai pengalaman yang ditawarkan.
“Lebih menarik lagi, pengunjung berpeluang untuk menyaksikan keindahan suasana pagi ketika matahari terbit dan suasana fajar ketika matahari terbenam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Perbandaran MPHTJ Ke-15, pihak sudah menyusun pelbagai lagi aktiviti menarik sepanjang Januari.
Untuk rekod, sebelum ini belon udara panas digunakan untuk mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) termasuk ketika penganjuran Festival TMM2024 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.