Belia Melaka meh beli rumah

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 18 Feb – Jangan tunggu sehingga umur lanjut baru beli rumah sedangkan perkara itu mampu dibuat pada usia muda.

Itu saranan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom kepada golongan belia berumur 35 tahun ke bawah agar segera membeli kediaman sendiri memandangkan harga pemilikan rumah di Melaka termurah di Malaysia.

Katanya, golongan itu berpeluang memiliki kediaman sendiri dengan harga serendah RM180,000 di bawah pakej Rumah Belia Melaka (RBM) asalkan memenuhi syarat ditetapkan.

“Selain B40, belia merupakan golongan yang sentiasa diberi perhatian berikutan itu kita cuba mencari penempatan baharu untuk memajukan RBM seperti di RBM Durian Tunggal.

“Inilah peluang kepada generasi muda mendapatkan rumah di Melaka dengan harga masih terkawal, stabil malahan ada diskaun dan pengecualian duti stem dan guaman.

“Rugi kalau mereka tidak berfikiran untuk beli rumah sebab setakat lima hingga enam tahun sebelum ini, Melaka kekal menjadi negeri menawarkan harga rumah paling murah di Malaysia di mana mereka boleh beli rumah serendah RM70,000 sahaja untuk Rumah Mampu Milik (RMM),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Justeru katanya, mereka yang ingin membeli rumah boleh membuat pendaftaran di laman web rasmi LPM iaitu lpnm.gov.my atau terus ke pejabat Lembaga Perumahan Melaka, Kompleks Komersial Boulevard, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3157
Kongsi :
Previous post Barang tiruan RM600,000 dilupuskan
Next post Jangan guna nama Menu Rahmah untuk tarik pelanggan
Ubah saiz-+=