Sorting by

×

Belia Komuniti India perlu rebut peluang

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

“TIADA isu masyarakat India dipinggir atau disisihkan tetapi setiap individu perlu merebut peluang yang ada untuk memajukan diri mereka sekali gus mencipta kejayaan,” itu kata aktivis belia B. Dhanesh, 28.

Dia yang juga penerima Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2019 berkata, seseorang itu tidak boleh terus membiarkan diri mereka berada dalam zon selesa sedangkan mereka mampu memperoleh kehidupan lebih baik.

“Peluang itu ada tetapi mereka tidak boleh mengambil sikap menunggu untuk ‘disuap’ sebaliknya perlu ke hadapan dan merebutnya.

DHANESH (berdiri empat dari kiri) bersama kumpulan pemuda komuniti India ketika melakukan program kebajikan baru-baru ini.

“Saya sebagai Pengerusi Majlis Belia India Malaysia Melaka turut berdepan situasi dalam menarik lebih ramai untuk menjadi ahli kerana mereka mengambil pendekatan kita turun padang pergi kepada mereka,” katanya.

Mengulas lanjut dia berkata, masyarakat India di Melaka khususnya bertuah kerana negeri ini bersikap lagi terbuka dan berpeluang membabitkan diri dalam pertubuhan.

“Contohnya di Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), kita terdapat empat wakil komuniti India dan ini sudah memadai memandangkan populasi kami kecil. Mustahil untuk kami minta sampai 10 wakil berdasarkan populasi.

“Saya rasa di Melaka kami diberi kesamarataan iaitu dari segi ‘equal opportunity’, masalahnya belia ini mereka tidak mahu ke hadapan mencari dan merebut peluang,” katanya yang juga Presiden Persatuan Pemuda India Negeri Melaka.

Mengulas lanjut Dhanesh yang juga Koordinator Belia Pertubuhan Komanwel Diraja Benua Asia berkata, dia amat berharap agar sesetengah tidak terus berada dalam zon selesa dengan kehidupan sekarang sebaliknya perlu sama tampil dan terbabit dalam pertubuhan, mengambil tahu isu semasa serta politik.

“Saya amat berharap agar belia bersikap progresif dan apabila ada peluang kita perlu merebutnya serta jangan malu untuk bertanya dan menonjolkan kebolehan yang ada,” katanya yang kini dipertanggungjawab memantau tujuh benua Asia membabitkan hal belia di bawahnya.

Views:

317
Kongsi :
Previous post Beri peluang di sektor awam
Next post Komuniti India di hati Ketua Menteri
Ubah saiz-+=