Sorting by

×

Beli ayam segar dapat diskaun RM2

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KOTA LAKSAMANA 6 Ogos – Diskaun RM2 bagi pembelian setiap ekor ayam segar, itulah antara tawaran menarik yang direbut pengunjung berbelanja pada Program Jualan Agro Madani di Pengkalan Rama, di sini, hari ini.

Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu membabitkan 13 peniaga menawarkan pelbagai barangan keperluan harian, makanan serta pakaian.

Pengunjung yang ditemui menganggap amat berbaloi berbelanja pada program itu apabila telur ayam gred C ditawarkan pada harga RM10 satu papan manakala seikat sayur RM2.

Bagi Zamri Rahim, 38, dia tertarik untuk membeli ayam segar ditawarkan kerana harganya jauh lebih murah berbanding pasaran, sekali gus membantunya berjimat.

“Pada mulanya saya bercadang beli seekor sahaja, tapi bila dengar tawaran diskaun RM2 terus saya beli dua ekor, kebetulan pula ada adik-beradik singgah ke rumah.

“Telur pula saya beli satu papan, jadi saya rasa program begini memang perlu diadakan setiap bulan untuk membantu golongan kurang berkemampuan berjimat,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program itu.

WhatsApp Image 2023-08-06 at 12.37.06 PM
ORANG ramai membeli ayam segar dan menikmati diskaun RM2 seekor.

Sementara itu Hayati Ismail, 26, berkata, program seperti sedemikian perlu diadakan lebih kerap kerana bukan sekadar menawarkan harga murah malah lokasi penganjuran dianggap strategik kerana terletak berhampiran kawasan penempatan, memudahkan pengguna.

“Saya memang sudah rancang untuk datang ke program jualan ini, boleh lihat apa yang sesuai untuk keperluan dapur. Ayam ada diskaun daripada harga RM17 seekor jadi hanya bayar RM15, program begini sangat membantu lebih murah berbanding kedai lain,” katanya.

Manakal bagi peniaga ayam, Nurul Wahida Abd Wahid, 27, program seumpama itu turut membantu peniaga kecil sepertinya menjana pendapatan.

“Tawaran harga diberikan menguntungkan peniaga seperti saya dan pembeli. Gerai mula beroperasi jam 8.30 pagi dan setakat jam 10 berbaki enam ekor sahaja lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1741
Kongsi :
Previous post Golongan profesional dua negara ‘tuang emosi’ dalam Kembara Penyair Ikhtisas
Next post Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika aktiviti riadah
Ubah saiz-+=