‘Beli air untuk kawan..’
AYER KEROH 16 Mac – Beli air untuk kawan antara alasan yang diberikan seorang buruh binaan apabila dikesan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berada dalam sebuah restoran mamak di Ayer Keroh pada waktu tengah hari.
Itu antara gelagat kaki ponteng puasa dalam serbuan Operasi Cegah Jenayah Syariah yang diadakan di sekitar Ayer Keroh dan Melaka Baru, hari ini.
Bukan sekadar tidak berpuasa, malah ada di antara umat Islam dewasa yang sanggup makan dan minum di khalayak ramai tanpa rasa segan silu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat 15 Mac, JAIM telah menahan lima lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 20 tahun di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
“Ia dilakukan menerusi pemantauan dan operasi mencegah perbuatan ponteng puasa dengan kesemua mereka ditahan dan boleh dihukum mengikut kategori kesalahan.
“Kesemua individu ditahan itu berusia antara 20 dan 45 tahun yang melakukan kesalahan di sekitar Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah dan mereka diberikan Surat Perintah Hadir ke JAIM untuk memberi keterangan dan tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan Ops Cegah Jenayah Syariah, di sini, hari ini.
Sebelum itu, Rahmad telah melancarkan Kempen Menghormati Ramadan Tahun 2024 sempena Bulan Pelancongan Agama Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Melaka Sentral.
Hadir sama Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Ustaz Kamal Nadzim Abdullah.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, penguatkuasa JAIM akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari sepanjang bulan Ramadan bagi membanteras gejala ponteng puasa dalam kalangan umat Islam.
Operasi itu, ujar beliau akan ditumpukan di lokasi tumpuan dan ‘hotspot’ dalam kalangan kaki ponteng puasa di negeri ini.
“Selain intipan terhadap aktiviti mengemis, pihak JAIM juga memainkan peranan menjalankan penguatkuasaan membanteras gejala ponteng puasa di beberapa lokasi panas yang mana kesalahan ini berlaku.
“Jika ikut rekod pada tahun lepas seramai 96 individu ditangkap melibatkan kes tidak berpuasa dan termasuk makan dan minum di khalayak ramai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.