Sorting by

×

Belanjawan Melaka: Adly dakwa ia bajet yang besar

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 9 Dis. – Ketua Pembangkang negeri Adly Zahari mendakwa Melaka bakal berdepan cabaran untuk berjimat cermat selepas membentangkan Belanjawan 2021 Negeri Melaka yang disifatkannya sebagai agak besar.

Katanya, walaupun ia dilihat meliputi segenap lapisan dengan beberapa inisiatif namun katanya, kebajikan rakyat tetap perlu diberi perhatian tatkala negara masih berdepan cabaran penularan COVID-19.

Sehubungan itu, Adly berharap kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali agar melaksanakan penjimatan, sekali gus membolehkan rakyat menikmati bajet negeri yang diumumkan.

“Kita boleh berusaha untuk mencapai, kerana cabaran kita pada masa depan adalah bagaimana untuk melakukan penjimatan kepada pengurusan.

“Dalam masa sama, mengagihkannya secara (adil) kepada rakyat keseluruhan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai Belanjawan 2021 Negeri Melaka di Seri Negeri hari ini.

Beliau bagaimanapun secara keseluruhannya menyambut baik rancangan kerajaan sedia ada yang meneruskan projek yang telah dirancang.

“Aspek kesihatan adalah antara yang penting, jadi apabila (perancangan pembinaan) Hospital Wanita dan Kanak-kanak diteruskan, itu adalah inisiatif yang baik,”katanya.

“Begitu juga dari dari segi isu air, yang kita tahu Melaka mempunyai masalah air dalam tempoh jangka panjang.

“Sebagaimana yang dirancang sebelum ini, saya ucapkan terima kasih kerana ia masih diteruskan dan jika inisiatif air dilaksanakan, Melaka boleh bebas daripada masalah itu dalam tempoh masa jangka panjang,” katanya.

Views:

347
Kongsi :
Previous post Warga pendidik disaran tingkat ilmu bidang IT & pendigitalan
Next post Melaka berjaya kurangkan hutang RM178j kepada kerajaan Pusat
Ubah saiz-+=