Belanjawan Melaka 2021: Rizab pelancongan perlu diwujudkan
KLEBANG 31 Okt. -Belanjawan Melaka dan Persekutuan 2021 diharap memberi fokus kepada sektor pelancongan yang kini terjejas teruk sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, antara yang diharapkan pihaknya ialah rizab pelancongan dapat diwujudkan untuk membantu sektor berkenaan, jika berlakunya sebarang musibah yang tidak dijangka di masa akan datang.
Jelasnya, dengan adanya rizab tersebut, ia dapat disalurkan kepada pemain industri pelancongan yang terkesan, sekali gus dapat mengelakkan sektor tersebut daripada lumpuh sepenuhnya.
“Bila berlakunya COVID-19, kita mula sedar betapa pentingnya rizab untuk pelancongan. Jadi saya sangat berharap (menerusi) Belanjawan Persekutuan dan negeri dapat memikirkan satu jumlah rizab untuk industri pelancongan, sekiranya berlaku musibah seperti ini.
“Jadi jika adanya rizab tersebut, kita hanya akan gunakan bila perlu sahaja supaya kita dapat bertahan dalam tempoh sukar, sekali gus dapat mengelakkan pembuangan pekerja.
“Saya juga percaya dengan adanya rizab tersebut kita dapat merencana satu formula baharu untuk keluar dari masalah ini,” katanya.
Beliau ketika ditemui di Majlis Perasmian Ibu Pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) di Klebang, semalam.
Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Pengerusi Jawatankuasa Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Kamarudin Sedik.
Dalam pada itu mengulas mengenai kedatangan pelancong ke negeri ini, Muhammad Jailani mendedahkan kehadiran pelancong domestik terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikenakan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Katanya, situasi itu, sekali gus menyukarkan negeri untuk mencapai kehadiran 5.6 juta pelancong sebelum berakhir tahun 2020.
Bagaimanapun, beliau menzahirkan harapan agar pandemik COVID-19 kembali berada dalam keadaan terkawal pada November dan Disember bagi menggalakkan kembali kehadiran pelancong domestik, sekali gus merancakkan kembali sektor pelancongan.