
Belanjawan Melaka 2021: Permulaan baik buat e-Sports Melaka – MEA
AYER KEROH, 12 Dis. – Peruntukan tahunan berjumlah RM200,000 bagi menganjurkan program berkaitan sukan elektronik (e-Sports) yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali pada pembentangan Belanjawan Melaka 2021 pada 9 Disember lepas membuktikan Kerajaan Negeri Melaka amat menitikberatkan pembangunan e-Sports secara keseluruhannya.
Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Melaka (MEA), Muhammad Hamka Mohd Ali menyifatkan ia sebagai langkah permulaan yang positif buat kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan e-Sports di negeri ini terus berkembang maju seiring dengan kepesatan teknologi digital masa kini.

“Pihak MEA ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka, khususnya buat Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali kerana menitikberatkan pembangunan e-Sports di Melaka.
“Dengan pengumuman peruntukan tahunan sebanyak RM200,000, ia merupakan satu permulaan yang baik kerana pada masa kini, e-Sports merupakan antara platform sukan digital yang semakin berkembang maju pada waktu ini.
“Ditambah pula dengan jumlah pengguna atau pemain e-Sports yang saban hari meningkat naik, terutamanya golongan belia. Saya selaku Presiden MEA mewakili industri e-Sports di Melaka mengucapkan terima kasih sekali lagi atas keprihatinan Kerajaan Negeri Melaka yang saya kira mengambil serius ke atas program pembangunan e-Sports secara keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan rasminya sebentar tadi.
Tambahnya, MEA akan terus komited untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dari segi penganjuran pelbagai program berkaitan e-Sports, seiring dengan matlamat persatuan itu untuk memartabatkan sukan e-Sports Melaka ke tahap tertinggi.
“MEA akan terus merangka pelbagai program berkaitan e-Sports dengan kerjasama kerajaan negeri dan dengan bakat serta pengalaman ahli MEA sedia ada, saya percaya pihak kami akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam usaha memartabatkan sukan e-Sports Melaka di mata dunia,” ujarnya.