Belanjawan Melaka 2021: Kemudahan jalur lebar perlu dinaik taraf

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 4 Dis. – Rakyat berharap kerajaan negeri dapat memberi tumpuan memperkasakan  perkhidmatan jalur lebar dalam Belanjawan Melaka 2021, yang menjadi sumber penting untuk berkomunikasi sepanjang musim COVID-19.

Pensyarah Ekonomi Fakulti Inovasi Perniagaan dan Teknologi (FIPT) Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) Nor Hazanah Miskan berkata, ia merupakan antara aspek penting dalam menjana pembangunaan kesejahteraan rakyat terutama dalam sektor pelancongan dan pendidikan di Melaka.

Menurutnya, penekanan itu akan memberi kesan positif dalam industri pelancongan, sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan dan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Menerusi peningkatan perkhidmatan sistem jalur lebar ‘fiberization’ di seluruh negeri ini mampu memberi kemudahan di setiap kediaman di Melaka mempunyai akses internet dengan pakej minimum sekurang-kurangnya pada kadar 10 megabait sesaat (Mbps).

 

PENSYARAH Ekonomi Fakulti Inovasi Perniagaan dan Teknologi (FIPT) Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) Nor Hazanah Miskan

“Mutu perkhidmatan jalur lebar perlu ditambah baik sedikit sebanyak akan meningkatkan pembangunan kesejahteraan negeri Melaka, malah dalam konteks mendepani pandemik terbabit penggunaan internet menjadi keperluan utama pengguna bagi menjalani kehidupan harian termasuk pendidikan secara atas talian, transaksi atas talian, bekerja dari rumah dan pelbagai lagi,” katanya.

Tambah Norhazanah, penekanan perlu dititikberatkan kerajaan negeri ke arah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang seiring dengan hasrat ‘Memperkasa Pendidikan Secara Digital’.

“Perkara ini menunjukkan bahawa kaedah secara maya adalah sangat penting diaplikasikan dan berharap pembentangan yang akan diumumkan nanti memberi sinar kepada dunia pendidikan dan sektor lain.

“Kerajaan negeri perlu mempertimbangkan keupayaan capaian internet berkelajuan tinggi di setiap daerah di negeri ini dan jika ia dapat di wujudkan pada ketika ini segala tuntutan kerja dapat dilunaskan dengan baik walaupun pergerakan masyarakat adalah terbatas,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Seiring dengan hasrat terbabit, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka Akmal Adanan berkata, insentif khas perlu diperkenalkan menerusi ‘Digital Tourism’ dengan lebih meluas bagi memperkasakan pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, pengenalan pakej-pakej menarik daripada pemain industri terhadap Pelancongan Maya itu mampu menarik lebih ramai pelancong malah perlu merangka strategi lain termasuk tawaran baucar penginapan menarik kepada pengunjung dari zon hijau sebagai strategi gelembung perjalanan baharu.

“Dengan bajet inklusif kepada industri ini, pelancongan tempatan dapat menjadi teras dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

PENSYARAH Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka Akmal Adanan

“Kelangsungan memperkukuh sektor ini diharap menjadi suntikan kepada rantaian ekonomi berkaitan antaranya pengangkutan, penginapan, makanan, pengurusan acara serta pelbagai lagi,” katanya.

Perkhidmatan internet yang perlu diperluaskan itu juga mampu menjadi penyumbang utama dalam sektor pendidikan negeri ini disebabkan penggayaan norma baharu yang menjadikan pelajar di negara ini memerlukan rantaian internet bagi mendapatkan pendidikan dan maklumat di luar bilik kuliah.

Views:

743
Kongsi :
Previous post Melaka perkenal produk pelancongan baharu tahun depan
Next post Melaka terima air percuma selama 70 tahun
Ubah saiz-+=