Sorting by

×

BELANJAWAN 2025 LULUSKAN 14 INISIATIF UNTUK PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Belanjawan 2025 meluluskan 14 inisiatif kewangan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, termasuk RM200 juta untuk penyelenggaraan perumahan awam kos rendah.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata ia juga merangkumi RM289 juta untuk pembinaan dan naik taraf pasar, RM100 juta bagi Taman Rekreasi MADANI dan hampir RM1 bilion diperuntukkan bagi perumahan sosial dan mampu milik.

“Kami bermotivasi untuk berkhidmat dengan lebih baik dan akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan menggalakkan perbandaran mampan. Jelas bahawa Belanjawan 2025 adalah cukup hebat, progresif, inklusif dan mampan.

“Walaupun menghadapi cabaran terhadap kedudukan fiskal kewangan dan konflik serantau, belanjawan ini bergerak ke hadapan selari dengan kerangka Ekonomi MADANI dengan mengurangkan defisit fiskal daripada enam peratus pada 2022 kepada 3.8 peratus tahun depan,” katanya.

Nga berkata demikian bagi mengulas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemakan “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat” di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata Belanjawan 2025 juga melaksanakan reformasi yang diperlukan termasuk subsidi bersasar RON95 untuk warga asing, yang akan memberi penjimatan kepada kerajaan sebanyak RM8 bilion untuk merancakkan pembangunan negara.

Selain itu, bagi menyediakan jaringan keselamatan sosial, sebanyak RM15.9 bilion diperuntukkan untuk membantu golongan miskin tegar, B40 dan M40, dengan keluarga berpendapatan terendah menerima bantuan kewangan berjumlah RM13,000 setahun.

Nga berkata hal ini merupakan manifestasi bagaimana kerajaan MADANI mengambil berat terhadap rakyat.

“Peruntukan kebajikan masyarakat ini ialah yang paling tinggi dalam sejarah,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

161
Kongsi :
Previous post KEMALANGAN MAUT LIBAT PENUNGGANG MOTOSIKAL DI MELAKA MENINGKAT
Next post ORANG MELAKA HARAP LEBUH RAYA WCE BANTING – GELANG PATAH JADI REALITI
Ubah saiz-+=