Belanjawan 2024 dinamik, bimbing pembangunan Malaysia gemilang – KM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 14 Oktober – Pembentangan Belanjawan 2024 disifatkan satu belanjawan yang menyeluruh dan dinamik bagi membentuk sebuah negara gemilang pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelbagai insentif ditawarkan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan pembangunan negara terus melakar kecemerlangan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Belanjawan yang dibentangkan adalah satu belanjawan yang cukup dinamik untuk Malaysia maju ke hadapan yang memberikan pelbagai insentif untuk pembangunan Malaysia di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Seperti kita lihat pelbagai insentif yang ditawarkan kerajaan seperti bantuan untuk penjawat awam sama ada yang kekal, berpencen ataupun di bawah lantikan kontrak telah diselaraskan dan ini merupakan satu pendekatan baharu dalam membina negara selepas pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Melaka 2023 (HSNM 2023) di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP. Shanmugam; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka Khairul Adri Rosli; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani berjumlah RM393.8 bilion yang merupakan belanjawan terbesar negara.

Ia menghamparkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam memaknai sebuah cetusan nurani bagi mengangkat darjat harakat ekonomi negara dan rakyat.

Menerusi belanjawan itu, kesinambungan dasar menelusuri Kerangka Ekonomi Madani telah dibahagikan kepada tiga kerangka utama sebagai tumpuan kerajaan iaitu, Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan, Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan dan Peningkatan Darjat Hidup Rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

759
Kongsi :
Previous post Sukan Melaka erat hubungan kerajaan, masyarakat
Next post Syiar Islam subur di Ayer Limau
Ubah saiz-+=