Belanjawan 2023: Enam projek tebatan banjir akan ditender semula – PM
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek itu melibatkan Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor dan pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor.
Beliau berkata projek lain ialah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan.
Dalam pada itu, Anwar berkata sebagai persiapan mendepani sebarang ancaman bencana, kerajaan menyediakan RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) antaranya untuk keperluan aset, sistem amaran dan bantuan bencana kepada rakyat yang terkesan.
“Angkatan Tentera Malaysia, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia juga disediakan RM50 juta bagi menyediakan peralatan dan aset untuk menghadapi bencana.
“Peranan komuniti turut diperkasa sebagai kumpulan awal ketika bencana. Kerajaan menyediakan RM20 juta di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti untuk manfaat 2,000 persatuan penduduk,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, di bawah Kerajaan Perpaduan hari ini.
Belanjawan 2023 sebelum ini dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada 7 Okt tahun lepas yang memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion.
Bagaimanapun, belanjawan itu tidak sempat dibahas dan diluluskan susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt yang memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.