Belanjawan 2021: Tak kecewa M-Wez tak tersenarai
AYER LIMAU 7 Nov. – Pembangunan Melaka Waterfront Economic Zone (M-Wez) yang tidak termasuk dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam tidak menganggu rancangan Melaka merealisasikan koridor ekonomi baharu itu.
Ia berikutan perkara itu perlu diperhalusi di peringkat Majlis Pembangunan M-Wez yang baharu sahaja ditubuhkan, sebelum ia dibentangkan dalam Majlis Pembangunan Fiskal Negara tahun hadapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, rangka pembangunan itu perlu diperincikan menerusi Majlis Pembangunan M-Wez terlebih dahulu termasuk mengadakan kajian dan dokumentasi berkaitan.
Malah katanya, barisan kepimpinan kerajaan negeri turut menubuhkan panel penasihat dan meja rundingan bagi melaksanakan perbincangan menyeluruh mengenai perkara itu.
“Saya dan barisan Exco kerajaan negeri turut menubuhkan panel penasihat, ‘retreat’ malah kita sudah menjalankan seminar dan kita akan laksanakan ‘lab’ (perbincangan).
“Apabila semua dokumentasi itu cukup maka kita akan bawa kepada Majlis Pembangunan Fiskal Negara yang dibantu oleh Majlis Pembangunan M-Wez.
“Jadi apabila pembangunan itu tidak termasuk dalam Belanjawan 2021, ia tidak melunturkan semangat kita dan kita akan terus bekerja keras untuk memastikan satu pembangunan baharu dapat direalisasikan di Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas mengadakan lawatan kerja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Wira Amiruddin Yusof.
Sulaiman berkata, kerajaan negeri mempunyai tempoh masa sekurang-kurangnya empat bulan bagi memuktamadkan semua dokumen berkaitan sebelum mesyuarat Majlis Pembangunan Fiskal Negara yang dijangka diadakan pada Mac tahun hadapan, bermula.
“Kita sudah mengadakan pra-lab membabitkan barisan kerajaan negeri dan agensi berkaitan sebulan lalu dan kita akan adakan ‘lab’ bersama sektor swasta bagi merangka pelan strategi koridor berkenaan.
“Dalam tempoh tiga bulan ini mesti kita selesaikan dan penyerahan (dokumentasi) kita pada bulan Mac tahun hadapan,” katanya.