Belanjawan Melaka 2021: Adly minta perhatian dua perkara
AYER KEROH 10 Dis. – Ketua Pembangkang Melaka Adly Zahari menggariskan dua perkara yang perlu diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri Melaka selepas membentangkan Belanjawan 2021 Negeri Melaka.
Antara yang perlu dipandang serius katanya, adalah peningkatan nilai belanjawan dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan dari sudut peningkatan ekonomi.
Adly mendakwa, pembentangan belanjawan tersebut tidak digambarkan dalam bentuk ekonomi, meskipun nilainya meningkat 14 peratus berbanding tahun lalu.
“Bajet selalu dikaitkan dengan peningkatan ekonomi, tetapi bajet yang dibentangkan itu tidak cukup untuk menggambarkannya. Jadi, saya harap ia perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan di hari kedua Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14 di Seri Negeri, hari ini.
Selain itu, beliau turut meminta Belanjawan 2021 Negeri Melaka yang bertemakan ‘Melaka Rumahku: Merangka Ekonomi, Membahagiakan Rakyat, Menggamit Dunia’ itu dapat menjelaskan secara terperinci berapa banyak sumbangan yang akan diperoleh rakyat negeri ini.
Jelasnya, penjelasan itu perlulah merangkumi peruntukan dalam sektor kebajikan, pendudukan, keusahawanan dan keperluan-keperluan lain untuk rakyat.
Bagaimanapun, beliau menyambut baik mengenai perancangan menubuhkan Majlis Digital Negeri Melaka yang disifatkan amat penting ke arah pendigitalan Melaka pada masa akan datang.
“Namun, saya berharap kerajaan negeri dapat memberi tumpuan kepada pendidikan digital kerana aspek ini perlu diberi keutamaan dalam usaha mendigitalkan negeri ini,” katanya lagi.