Belanjawan 2021: Melaka fokus tambah baik struktur jalan raya, naik taraf produk pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat
SULAIMAN (kiri) ketika ditemubual wartawan.

AYER KEROH 22 Julai – Kerajaan negeri menyampaikan hasrat untuk memohon peruntukan menambah baik struktur jalan raya dan menaik taraf produk pelancongan di Melaka untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2021.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu telah disampainya kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam lawatannya ke negeri ini bersempena Jelajah Konsultansi Belanjawan 2021, hari ini.

Katanya, dua perkara itu menjadi keutamaan memandangkan Melaka merupakan sebuah negeri pelancongan dan bergantung harap kepada penambahbaikan berkenaan demi merancakkan kembali ekonomi negeri ini pasca Covid-19.

“Struktur jalan raya kita beri keutamaan yang mana saya telah mohon kepada menteri agar masalah penguraian trafik dapat diselesaikan di negeri pelancongan ini.

“Ada beberapa jalan yang telah saya mohon untuk diberi keutamaan agar pelancong yang hadir ke sini tidak ‘tersangkut’ terlalu lama dalam kesesakan lalu lintas untuk membolehkan perjalanan mereka lebih selesa di tempat-tempat pelancongan.

“Selain itu, kita juga memohon agar beberapa produk pelancongan dapat dinaiktaraf membabitkan struktur, landskap dan sebagainya,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Seri Bendahara, hari ini.

Menurut Sulaiman, selain dua fokus utama itu, ada beberapa perkara lagi telah disampaikan kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) khusus untuk kemajuan Negeri Melaka yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Boleh saya katakan perjumpaan ini berlangsung positif dan saya sangat berbesar hati menerima kunjung hormat Menteri bersama delegasi MOF yang memilih Melaka sebagai negeri pertama dikunjungi sempena Jelajah Konsultansi Belanjawan 2021,” katanya.

Views:

268
Kongsi :
Previous post Naik taraf rangkaian jalur lebar buat penduduk Melaka
Next post Melaka lulus usul wujud gelaran martabat dan bintang
Ubah saiz-+=