Belanjawan 2021 medium perkasa koperasi dalam kitaran ekonomi
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November depan dilihat sebagai medium penting ke arah memperkasakan 14,625 gerakan koperasi di seluruh negara untuk kekal relevan, lestari dan kompetitif dalam kitaran ekonomi yang semakin mencabar.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata bagaimanapun usaha itu hanya akan tercapai sekiranya kerajaan dapat menyediakan peruntukan lebih seimbang kepada koperasi sama seperti yang diterima oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), agar koperasi mampu untuk menggandakan perniagaan mereka sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Koperasi diiktiraf oleh kerajaan sebagai sektor ketiga dalam pembangunan ekonomi selepas sektor swasta dan kerajaan, oleh itu bagi menjadikannya kekal relevan, lestari dan kompetitif sokongan daripada kerajaan dalam bentuk kewangan amat diperlukan dalam usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka,” katanya kepada Bernama.
Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz itu akan menjadi belanjawan pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional sejak mengambil alih kuasa pada Mac lepas.
Semasa Belanjawan 2020 sebanyak RM297 bilion atau 18.4 peratus daripada KDNK telah diperuntukkan dengan 81.1 peratus atau RM241 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala baki RM56 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
“Bagi pembentangan Belanjawan 2021 kami telah dipanggil oleh Kementerian Kewangan untuk sama-sama memberikan input, oleh itu kami telah menyuarakan hasrat kami dan keperluan yang sepatutnya disediakan untuk kami sama seperti usahawan PKS,” kata Abdul Fattah.
Selain itu, katanya, peruntukan tersebut juga bertujuan meluaskan perniagaan e-dagang bagi peruncit koperasi yang terlibat dalam Program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100) dalam usaha menangani impak penularan COVID-19 serta mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka dalam pasca Perintah Kawalan Pergerakan.
BA100 yang mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) merupakan program perniagaan e-dagang yang mengumpulkan belian barangan asas secara pukal mengikut permintaan di kedai runcit milik koperasi dengan menawarkan barang keperluan harian pada harga lebih jimat berbanding pasaran biasa
Angkasa telah menerima sebanyak 1,500 pendaftaran daripada peruncit koperasi untuk BA100 dan menyasar untuk meluaskan program tersebut kepada 3,000 peruncit koperasi di seluruh negara bagi tempoh 2020 hingga 2021.
“Sasaran kita ialah untuk bangunkan sekurang-kurangnya 3,000 kedai runcit koperasi dengan platform digital yang secara tidak langsung boleh memperkasakan perkhidmatan kepada ahli-ahli koperasi dan memudahkan pengguna yang terdiri dari kalangan B40 serta memendekkan sistem rantaian bekalan kerana tidak melibatkan orang tengah.
“Bagi tujuan itu kita cadangkan kerajaan sediakan peruntukan dalam bentuk modal pusingan bagi membolehkan pembelian barangan secara pukal dan disalurkan kepada kedai runcit koperasi serta menaik taraf sistem perniagaan kepada platform digital yang lebih kompetitif dan cekap,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, sumbangan koperasi untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak terlalu besar memandangkan sumbangannya lebih kepada soal kesejahteraan sosial masyarakat khususnya menyediakan platform perniagaan dan peluang pekerjaan kepada ahli.
Selain itu, katanya, peruntukan dalam belanjawan untuk koperasi perlu disediakan oleh setiap kementerian yang ada menaja bagi penubuhan koperasi berkenaan seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang mempunyai koperasi seperti Koperasi Felcra, Koperasi Felda dan Koperasi Risda.
Beliau berkata peruntukan yang disediakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sahaja tidak mencukupi untuk memperkasakan koperasi dan menggandakan aktiviti perniagaan mereka.
Sementara itu, katanya, Angkasa juga mahu kerajaan menaikkan kadar cukai daripada RM750,000 kepada RM1.5 juta yang bertujuan meningkatkan kemampuan boleh niaga gerakan koperasi selain menggandakan kegiatan perniagaan mereka.
“Kadar cukai ini tidak pernah dikaji lebih dari 10 tahun, sudah tiba masanya untuk ia dikaji semula. Kami juga mohon tempoh pengecualian cukai dapat dilanjutkan dari lima tahun ke lapan tahun, supaya setiap koperasi khususnya yang baharu dapat mengukuhkan kedudukan mereka dalam kitaran sosio-ekonomi.
“Kami juga mahu perbelanjaan untuk membuat dasar dan polisi koperasi dikira sebagai komponen yang boleh dikecualikan cukai contoh perbelanjaan Mesyuarat Agung Tahunan koperasi, ia adalah platform penting dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi memandangkan jumlah ahli koperasi yang ramai iaitu 6.09 juta orang,” katanya.- BERNAMA