Belanjawan 2021: KM harap pemulihan pelancongan, pembuangan pekerja ditekankan
AYER KEROH 5 Nov. – Melaka harap pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini turut membabitkan pemulihan sektor pelancongan yang tenat akibat pandemik COVID-19.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, pemulihan sektor itu dilihat antara perkara mustahak yang wajar ditekankan dalam belanjawan kali ini, memandangkan ia merupakan sumber ekonomi utama kerajaan negeri.
Dalam masa sama katanya, isu membabitkan pembuangan pekerja berpunca dari pergerakan ekonomi yang perlahan juga perlu diberikan perhatian.
“Kita terpaksa pulihkan semula sektor pelancongan di negeri ini di samping mencari kawasan atau produk pelancongan yang baharu.
“Kemudian bagaimana boleh kita tangani dan bertahan terutama di Negeri Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan termasuk bajet bagi mereka yang dibuang kerja semasa pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke jabatan-jabatan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Melaka, hari ini.
Sulaiman turut berharap pembentangan yang dibentang esok juga memfokuskan merancakkan kembali pelancongan Melaka, menerusi pemerkasaan program pelancongan di peringkat nasional.
Terdahulu Sulaiman mengadakan lawatan di jabatan-jabatan atau agensi yang terdapat di KDN Melaka bagi melihat pengurusan dan pengoperasian yang dijalankan.
Pembentangan Belanjawan 2021 akan dibentangkan esok oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dalam perkembangan lain, Sulaiman turut menyarankan Pembentangan Belanjawan 2021 itu disokong dalam memulihkan ekonomi negara termasuk menangani pandemik COVID-19.
“Pada saya sudah pasti bajet yang dibentangkan kali ini adalah untuk memulihkan ekonomi, kedua merancakkan semula ekonomi dan ketiga membantu rakyat terkesan COVID-19.
“Saya harap semua pihak menyokong dan jangan fikirkan perkara yang lain termasuk mengenai politik kerana rakyat di luar sana memerlukan banyak perkara terutama dalam pandemik COVID-19,” katanya.