Belanja daging bantu golongan memerlukan
REMBIA 8 April – Setiap kali penghujung Ramadan, umat Islam akan sibuk mencari barangan keperluan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Justeru itu, kariah Masjid Ar-Rasyidin Alor Gajah bersama Japerun Rembia mengambil inisiatif memberi sumbangan daging korban kepada seramai 101 keluarga memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.
Menurut Penyelaras Japerun Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan, walaupun agihan daging itu hanya satu kilogram bagi setiap keluarga, namun ia sudah memadai untuk menceriakan golongan yang memerlukan.
“Ini merupakan tahun kedua Program Sinar Aidilfitri dianjurkan dengan pengisiannya memberi sumbangan sekilogram daging kepada penerima memerlukan yang dikenal pasti dalam kariah.
“Sebanyak 101 kilogram daging korban diagihkan kepada penerima, program ini bagi menyantuni mereka yang layak menerima sumbangan sekali gus menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah.
“Penerima ini terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti asnaf, anak-anak yatim, ibu tunggal dan warga emas yang dikenal pasti layak menerima sumbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyampaikan sumbangan daging korban pada program itu di Dewan Masjid Ar-Rasyidin di sini, hari ini.
Program itu melibatkan penduduk di Taman Seri Pengkalan, Taman Sri Sutera, Taman Samarinda, Kampung Pengkalan, Kampung Jelatang, Taman Seri Bayu 1, Taman Seri Bayu 2, Taman Seri Bayu 3 dan Taman Asahan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.