Sorting by

×

Belanda sedia bantu Melaka bawa pulang artifak era penjajahan

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDA HILIR 12 Mei – Kerajaan Belanda sedia membantu Melaka membawa pulang artifak era penjajahan 1641-1824 ke negeri ini.

Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Werner berkata, hasrat itu telah dimaklumkan dan pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

Katanya, sekiranya tinggalan sejarah itu sememangnya kepunyaan Melaka ketika era tersebut, Kerajaan Belanda sedia untuk memulangkannya kembali.

“Namun jika ia merupakan tinggalan milik Belanda yang mahu dipamerkan di Melaka, kita akan cuba mendapatkan persetujuan institusi mahupun orang perseorangan yang menyimpannya.

“Ia bergantung sama ada bahan tinggalan itu mahu dikongsi atau tidak kerana saya tidak mempunyai kuasa untuk itu.

“Bagaimanapun kita akan cuba bantu memandangkan ia merupakan usaha yang baik oleh Melaka dalam menambah baik pelancongan berunsurkan sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Bengkel Kelestarian Pameran Kolonial Belanda di Muzium Sejarah dan Etnografi Melaka di Jalan Kota, di sini, semalam.

IMG_20230511_205518_079
Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner (duduk, tiga dari kanan) bersama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan (duduk, dua dari kanan) bergambar bersama peserta Bengkel Kelestarian Pameran Kolonial Belanda di Muzium Sejarah dan Etnografi Melaka di Jalan Kota, Banda Hilir. Foto: MR. AZLI

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan; Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Akramuddin Ab Aziz dan Pengurus Besar Perzim Fadhilah Md Salleh.

Werner berkata, Kerajaan Belanda berikrar untuk terus memperkukuh hubungan baik dengan Melaka yang terjalin sejak sekian lama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1780
Kongsi :
Previous post Pelancongan sejarah ‘disegarkan’ sempena TMM2024
Next post Kejayaan Nusaybah bukti rakyat Malaysia mampu cipta kejayaan di peringkat dunia
Ubah saiz-+=