Sorting by

×

Belajar automotif bukan sekadar untuk jadi ‘pomen’ kereta

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

AYER LIMAU 12 Oktober – “Tanggapan negatif masyarakat terhadap wanita mengikuti kursus kejuruteraan automotif perlu diketepikan, biarpun bidang ini kebanyakkan didominasi oleh lelaki.

“Namun tanpa disedari kebolehpasaran wanita dalam bidang ini sebenarnya cukup tinggi,” kata pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah, Reena Soffea Fatasya Dean Bahrin, 20.

Reena merupakan pelajar semester lima Diploma Teknologi Kejuruteraan Automotif yakin bidang yang diceburinya itu mampu membawanya menempa nama dan memenuhi permintaan revolusi industri 4.0 (IR4.0) pada masa akan datang.

photo1697015579
REENA SOFFEA

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, biarpun sedikit janggal berikutan rata-rata rakan sekelasnya adalah lelaki dia tetap gigih untuk menamatkan kursus itu atas kemahuan untuk menguasai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ahli keluarga memang tidak ada yang bekerja sebagai mekanik atau bidang automotif, tetapi disebabkan ingin belajar perkara baharu saya tetap memilih bidang ini biarpun minat sebenarnya lebih terarah kepada kesenian.

“Pada mulanya agak janggal pada semester pertama memulakan pengajian, namun dengan dorongan rakan sekelas dan pensyarah berpengalaman saya mula bersemangat. Saya belajar teori dan praktikal berkaitan permotoran serta automotif termasuk segala pembelajaran mengenai kereta.

“Biarpun bidang ini bagi saya sedikit susah terutama dalam pendedahan praktikal, sebagai wanita kita perlu yakin dan berani mempelajari perkara baharu kerana negara sedang membangun memerlukan graduan berkebolehan dalam memenuhi permintaan industri terutama hari ini dunia beralih kepada transformasi pembuatan kenderaan elektrik (EV),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

photo1697015539
NURUL ANTASYA

Sementara itu, rakan sekelasnya, Nurul Antasya Mohd Som, 20, berkata, dua orang kakak yang kini bekerja dalam industri automotif menjadi suri teladan dan membuatkannya bersemangat untuk mendalami bidang terbabit.

Nurul Antasya berkata, persepsi masyarakat yang menyatakan hanya lelaki sahaja sesuai dengan bidang itu perlu diubah, malah kejuruteraan automotif yang diceburi begitu meluas.

photo1697015722
NURUL Antasya melihat kenderaan elektrik sempena Program Symposium 2.0 “An Exposure To Electric Vehicle Safety Awareness” di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Bila tamat pengajian graduan bukan sekadar boleh jadi mekanik, tetapi lebih daripada itu. Berdasarkan peluang yang ada kita boleh pergi lebih jauh lebih-lebih lagi permintaan pasaran dunia untuk graduan TVET ketika ini begitu tinggi.

“Selepas menamatkan pengajian saya bercita-cita untuk menjadi seorang penasihat jualan kenderaan dan berharap dengan pengalaman ia membantu saya membuka sebuah syarikat yang memiliki bengkel sendiri suatu hari nanti.

“Malah, sejak belajar di sini saya sudah arif memahami asas-asas komponen kenderaan dan ia sedikit sebanyak membantu keluarga saya sekiranya berlaku sebarang perkara diluar jangka terutama ketika berdepan dengan kerosakan kenderaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2142
Kongsi :
Previous post Keunikan Kota Laksamana perlu dipelihara
Next post Jenayah komersil tahun ini tunjuk trend meningkat
Ubah saiz-+=