‘BEKERJA SEBAGAI SATU PASUKAN’

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 12 September – Warga kerja profesional, progresif, inovatif dan berketerampilan amat diperlukan dalam usaha untuk menjayakan semua dasar Kerajaan Negeri Melaka.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad berkata, semua penjawat awam Negeri Melaka perlu memberikan perkhidmatan yang efektif, berakauntabiliti dan berintegriti selain amanah seiring dengan kepesatan transformasi kemajuan teknologi serta era digital yang mampan.

“Marilah kita semua berganding bahu melangkah bersama membina Negeri Melaka kearah masyarakat yang terhubung, berinformasi, kreatif dan berbudaya digital.

“Untuk mencapai apa yang dihasratkan ‘we must work as a team’ selain komunikasi dalam kalangan warga kerja juga perlu dipertingkatkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Perkhidmatan Awam Negeri Melaka (MAPAN) Tahun 2024, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Perasmian majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, dan turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Aziz Engan serta Pegawai Kewangan negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Dalam pada itu, Azhar berharap agar kesemua penjawat awam di negeri ini dapat mengharungi baki tahun 2024 dengan lebih cemerlang sebagai suatu pentadbiran yang berprestasi tinggi dan seterusnya menjadi pemacu kepada perubahan yang memberikan nilai tambah kepada setiap lapisan masyarakat.

“Saya berharap khidmat bakti yang cemerlang yang telah dicurahkan demi kebaikan organisasi dan bukan semata-mata mengharapkan ganjaran anugerah tetapi apa yang lebih penting ialah nilai-nilai kerja cemerlang menjadi amalan dan budaya kerja kita dalam melaksanakan tugas, tanggungjawab dan amanah yang diberikan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 468 penjawat awam menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), sementara 39 orang pula menerima Anugerah Khas Perkhidmatan (AKP).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

549
Kongsi :
Previous post TERAPKAN BUDAYA KERJA KUALITI TINGGI – KM
Next post PERTANDINGAN PIDATO TIUP SEMANGAT PERPADUAN, NASIONALISME
Ubah saiz-+=