Bekas petinju negara terlantar sakit

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BUKIT KATIL 31 Julai – Dahulu, nama Nekmat Jantan, 58 pernah mengharumkan nama Malaysia apabila menghadiahkan kalungan pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur tahun 1989.

Namun, siapa sangka dia yang dahulunya aktif dalam sukan kini terlantar di rumahnya di Rumah Pangsa Saujana Permai, di sini dan terpaksa bergantung harap kepada kerusi roda untuk bergerak selepas mengalami sakit urat saraf beberapa tahun lalu.

Nekmat berkata, pada awalnya penyakit itu tidak meragut sepenuhnya kesempurnaan dirinya kerana masih boleh bergerak menggunakan tongkat.

Namun, sejak dimasukkan ke Hospital Melaka pada April tahun lalu, keadaan kesihatan semakin merosot.

Sejak itu, dia mula terlantar dan tidak lagi bebas bergerak, selain memerlukan bantuan isteri untuk ke tandas.

“Sakit urat saraf ini melibatkan pinggang hingga ke belakang dan tengkuk. Doktor memaklumkan saya ia perlu dibedah.

“Namun, saya tolak kerana doktor mengatakan walau dibedah saya tetap perlu bergantung kepada tongkat. Tanpa tongkat saya masih tidak boleh berjalan dan akan mudah jatuh.

“Dahulu saya mungkin boleh lari hingga 10 batu jauhnya, tapi sekarang inilah nasib saya, dan saya reda,” katanya yang ditemui wartawan di rumahnya.

Nekmat merupakan antara 32 penerima bantuan kit makanan di Rumah Pangsa Saujana Permai yang disumbangkan wakil peguam Melaka, hari ini.

NEKMAT sebak ketika menceritakan kisah hidupnya kepada wartawan.

Bercerita lebih lanjut, dia bagaimanapun menzahirkan rasa terkilan apabila tidak banyak pihak mengambil berat tentang keadaan dirinya sejak terlantar.

Dia yang juga pernah beraksi untuk kejohanan tinju Piala Presiden di Indonesia pada 1990 berkata, walaupun pada awalnya ada wakil sukan yang datang menziarah, namun kini nasibnya seolah-olah dipandang sepi.

“Sedih jugalah, kita pernah wakil Malaysia, tetapi tiada orang pedulikan. Saya bukan minta banyak, cukuplah sekadar menjengah dan bertanya khabar.

“Itupun sudah menggembirakan kerana sekurang-kurangnya saya rasa sedikit dihargai. Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada wakil peguam yang sudi memberikan sedikit sumbangan hari ini.

“Walaupun mungkin kecil pada orang lain, namun besar maknanya kepada saya kerana terasa diri amat dihargai,” katanya dalam nada sebak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

734
Kongsi :
Previous post Strategi lawan COVID-19 diperhebat
Next post Busana Jalur Gemilang curi tumpuan di PPV UiTM Lendu
Ubah saiz-+=