Bekas penyewa tinggalkan bom mortar dalam rumah di Merlimau

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MERLIMAU 8 Julai – Seorang wanita warga emas terkejut sebuah objek menyerupai bom mortar dipercayai digunakan untuk latihan ditemui dalam rumah yang disewakannya di Taman Bukit Tembakau, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 65 tahun kira-kira jam 7.58 malam memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada jirannya iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun.

Katanya, wanita warga emas itu meminta jirannya untuk membersihkan barangan peribadi milik penyewanya yang ditingggalkan dalam rumah tersebut.

“Semasa proses mengemas rumah, jirannya telah menjumpai objek yang menyerupai bom mortar lalu menghantar gambar kepada wanita tersebut.

“Susulan menerima laporan itu, anggota dari Balai Polis Merlimau itu bergegas ke lokasi kejadian dan membuat kawalan keselamatan di tempat tersebut.

“Kira-kira jam 8.45 malam hari sama, pegawai Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka mengesahkan objek berkenaan adalah sebutir bom jenis mortar ‘practice inert’ berukuran 300 milimeter (mm) namun tiada mengandungi bahan letupan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan lanjut mendapati rumah teres satu tingkat di taman itu merupakan rumah sewa yang tidak berpenghuni hampir tujuh bulan.

“Wanita terbabit menyewakan rumah tersebut kepada seorang lelaki yang bekerja di Melaka sejak tahun 2022 sebelum meninggalkan rumah tersebut Januari tahun ini.

“Selepas lelaki terbabit keluar rumah, wanita berkenaan tidak lagi berhubung dengan penyewa rumah itu,” katanya.

Ahmad Jamil berkata bom berkenaan dibawa pasukan Unit Pemusnah Bom dan dibawa IPK Melaka untuk pelupusan.

Jelasnya, polis masih mengesan bekas penyewa rumah terbabit untuk membantu siasatan dalam kes tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4183
Kongsi :
Previous post Wanita masa kini perlu ada ‘dompet’ sendiri – Exco
Next post Tukang jahit ‘PKP’ ikon Usahawan KEMAS Melaka 2024
Ubah saiz-+=