Sorting by

×

Bekas pensyarah wakaf rumah dua tingkat demi saham akhirat

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BUKIT PALAH 20 Disember – Meskipun sedar kediaman miliknya mencecah harga lebih setengah juta ringgit, namun demi mencari ‘saham akhirat’, harta itu diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Bagi Azizah Shaaban, 63, keputusan untuk mewakafkan kediaman dua tingkat miliknya yang terletak di Ayer Keroh, kepada MAIM untuk diuruskan bagi kegunaan masyarakat Islam selepas pemergiannya kelak adalah keputusan yang terbaik.

Menurut pesara pensyarah itu, meskipun sebelum ini dia ada terfikir untuk memberikan kediamannya itu kepada saudara terdekatnya, namun tiada kata putus dibuat selain masih ragu-ragu.

“Semuanya bermula sebelum saya pencen tiga tahun lalu apabila fikirkan apa yang saya hendak buat dengan harta yang ada kerana rumah adalah harta kekal selain terfikir kalau saya dijemput pergi oleh Allah S.W.T, siapa yang akan uruskan rumah.

“Mula-mula saya ingat mahu namakan kepada anak saudara, sekejap berubah kepada adik termasuklah wakafkan ke tempat lain, ianya tidak tetap. Namun selepas minta kepada Allah SWT dengan tenang akhirnya saya dapat jawapan.

“Ini semua Allah SWT punya kuasa, kalau sudah dibukakan hati kita, maka keputusan yang dibuat adalah yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas Karnival Baitulmal MAIM 2022, baru-baru ini.

Katanya, tahun lalu buat kali kedua dia pergi ke pejabat MAIM dan menyuarakan hasratnya sebelum menguruskan perpindahan hak milik rumah terbabit kepada agensi itu.

“Sebenarnya dua kali saya ke MAIM, pertama kali mungkin hati tidak bulat lagi namun tahun lalu saya pergi terus muktamadkan. Sebelulm ‘pergi’ saya ingin selesaikan apa yang boleh.

“Rumah itu satu-satunya harta yang diberikan oleh-NYA kepada saya. Selepas wakafkan rumah itu saya akan duduk sehingga akhir hayat dan apabila saya sudah pergi, MAIM akan ambil alih,” katanya.

Ujar Azizah lagi, jika mahu, dia boleh menjual rumah itu yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 namun bukan wang ringgit yang dicari.

“Saya boleh jual dan ambil duit, hati dan nafsu ada untuk berbuat demikian tetapi hati tetap nak wakafkan kerana wang tidak lagi dipandang selain di umur sekarang ini patut pandang ke depan yang lebih ‘kekal’,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3265
Kongsi :
Previous post Tanah runtuh: Pencarian sembilan mangsa bersambung hari ini
Next post PM tegur sikap Ahli Parlimen, minta jaga tatasusila
Ubah saiz-+=