Bekas kakitangan Pejabat Ketua Menteri Melaka meninggal dunia
AYER KEROH 19 Sept. – Bekas kakitangan Pejabat Ketua Menteri Melaka, Safwan Ghazali berusia lingkungan 20-an meninggal dunia hari ini dipercayai akibat jangkitan wabak COVID-19.
Berita pemergiannya itu disahkan menerusi hantaran di Facebook Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) merangkap Penasihat Ekonomi dan Inovasi ketua menteri, Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif pagi tadi.
“Pagi ini kami dikejutkan dengan berita sedih dengan kematian sahabat saya adinda Safwan Ghazali pada usia akhir 20-an akibat wabak COVID-19 yang pernah sepejabat di Pejabat Ketua Menteri Melaka.
“Arwah seorang anak muda yang berpendidikan tinggi lulusan luar negara, ada daya kepimpinan dan idea, mempunyai potensi cerah serta banyak nilai tersendiri bagi diketengahkan untuk pelapis masa depan.
“Takdir telah menentukan, Allah SWT lebih menyayanginya. Semoga arwah sentiasa dalam maghfirah dan damailah dikau di sana sahabatku,” katanya menerusi hantaran itu.
Beliau turut mendoakan semoga arwah dicucuri rahmat, diangkat darjahnya dan ditempatkan Allah SWT dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh di akhirat kelak.
“Salam takziah yang mendalam buat keluarga dan seisinya. Banyakkan bersabar dan berdoa serta terus tabah menghadapi ujian berat daripada Allah SWT..Al-Fatihah….,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.