Bekas jurujual dihukum penjara, sebat dan denda, tipu urusan beli kereta
Rizal Othman, 44, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nadia Othman dan Aina Azahra Arifin.
Nadia menjatuhkan hukuman penjara setahun dan satu sebatan serta denda RM1,000 atau penjara 14 hari sekiranya tertuduh gagal membayar denda, manakala di hadapan Aina Azahra, lelaki itu dihukum penjara setahun dan satu sebatan.
Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 5 Ogos lepas.
Mengikut pertuduhan, Rizal didakwa menipu tiga pelanggannya dengan memperdayakan mereka dalam urusan untuk mendapatkan masing-masing sebuah kereta, sehingga ketiga-tiganya menyerahkan wang berjumlah RM92,308.50.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang pameran syarikat jualan kereta di Sentul, di sini, antara 13 Mei hingga 30 Julai lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiezah Mohamed Fauzi dan Nidzuwan Abd Latip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.