Bekas juara tinju heavyweight dunia, Leon Spinks meninggal dunia akibat kanser
LOS ANGELES: Lebih lima tahun ‘bertarung’ dengan penyakit kanser prostat, bekas juara tinju heavyweight dunia, Leon Spinks dilaporkan meninggal dunia, kelmarin (Jumaat) pada usia 67 tahun.
Petinju sinonim dengan ‘senyuman’ tiap kali bertarung dan pernah merampas kejuaraan daripada Muhammad Ali pada 1978 sebelum kalah pada aksi ulangan, dimasukkan ke hospital pada Disember lalu di Las Vegas.
Mendiang yang dilahirkan pada 1953 di St. Louis, Amerika Syarikat (AS) dan pernah berkhidmat dengan Polis Marin AS dari 1973 hingga 1976, mengembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Brenda Spinks.
“Pertarungan ‘terakhirnya’ ditempuh dengan semangat dan kepujian selepas sudah lama beliau sengsara.
“Leon juga bertarung dengan pelbagai penyakit lain dan sentiasa melemparkan senyuman seperti ketika zaman beliau aktif. Beliau menunjukkan semangat tinggi dan tidak pernah menyerah kalah,” menurut kenyataan The Firm PR.
Spinks bersara pada 1995 pada usia 42 tahun dengan rekod 26-17, tiga kali seri dan 14 KO (pukulan knockout).
Mendiang bergelut untuk mengulangi kejayaan dicatatnya pada usia muda selepas menjadi antara petinju sering melakukan kejutan dalam sejarah sukan tinju.
Spinks pernah meraih emas Olimpik pada 1976 dalam kategori light heavyweight di Montreal dan membabitkan diri dalam saingan profesional enam bulan kemudian pada usia 23 tahun.
Selepas lapan kali pertarungan profesional dengan rekod tujuh kemenangan dan sekali seri, Spinks dipertemukan dengan legenda tinju, Ali pada 15 Februari 1978 di Hilton Las Vegas.
Spinks berjaya mencatat kemenangan namun pada pertemuan ulangan tujuh bulan kemudian di Superdome, New Orleans di hadapan 70,000 penonton beliau tumpas di tangan Ali
Kejayaan itu paling hebat dalam kariernya apabila merangkul gelaran dunia dalam tempoh singkat iaitu selepas 13 bulan menjadi petinju profesional pada usia 23 tahun.– AFP