
BEKAS AHLI PERNIAGAAN WARGA CHINA RUGI RM4.2 JUTA TERPEDAYA MACAU SCAM
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 62 tahun itu, mendakwa ditipu sindiket tersebut pada Khamis lepas.
Beliau berkata warga emas itu mendakwa menerima beberapa mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali, memperkenalkan diri sebagai Sarjan Michael pada 21 Dis tahun lepas dan memaklumkan mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram.
“Mangsa kemudian membuat pindahan wang secara dalam talian kepada satu akaun syarikat dan memasukkan dua keping cek ke dalam dua akaun syarikat yang berbeza seperti diarahkan oleh Sarjan Michael.
“Mangsa juga meminta pihak bank membuat pindahan wang daripada akaun bank miliknya ke dalam satu akaun syarikat yang diberikan kepadanya, dengan kesemua transaksi itu dikatakan untuk tujuan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas program Cakna Komuniti Polis Kontinjen Negeri Sembilan sempena Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Mohamad Hatta berkata lelaki itu hanya menyedari telah diperdaya setelah dimaklumkan oleh pihak bank sebelum akaun banknya disekat.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Mohamad Hatta berkata bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas, pihaknya membuka 105 kertas siasatan berkait modus operandi phone scam (macau scam) melibatkan kerugian RM1.89 juta, berbanding 84 kertas siasatan dengan kerugian RM930,931.18 pada 2023.
Sebagai langkah pencegahan, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila menerima panggilan daripada pihak yang memperkenalkan diri daripada mana-mana agensi dan meminta membuat pembayaran untuk sebarang tujuan.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyerahkan kad, akaun atau maklumat perbankan kepada pihak lain, bagi mengelakkan akaun bank dimanipulasi oleh sindiket penipuan dan menjadi keldai akaun,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.