Bekalan minyak masak stabil

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 18 Jan. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri tidak mengesan kes kekurangan bekalan minyak masak paket dan botol atau kenaikan harga minyak masak paket di negeri ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Rabu lalu

Pengarahnya, Norena Jaafar menegaskan, pemeriksaan rutin pegawai penguat kuasa mendapati kes seumpama itu tidak berlaku.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan KPDNHEP mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang sengaja menaikkan harga minyak masak paket sekilogram melebihi RM2.50 yang dibenarkan.

“Minyak masak paket diberikan subsidi bagi memastikan pengguna menikmati bahan masakan itu pada harga munasabah dan jika ada peniaga menaikkan harga, sudah pasti kami mengambil tindakan tegas.

“Setakat ini kami tidak menerima aduan mengenai kekurangan minyak masak paket di pasaran dan jika berlaku, kami segera menghubungi pemborong dan pembungkus minyak masak untuk meminta mereka menghantar
bekalan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, peniaga yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.

Beliau menjelaskan, berbeza dengan minyak masak paket, minyak masak botol tidak dikawal harganya, sebaliknya dijual berdasarkan mekanisme pengapungan harga dengan harga ditetapkan penjual.

“Kerajaan tidak memberi subsidi kepada produk itu dan ia menyebabkan ada perbezaan harga dalam kalangan minyak masak botol mengikut jenama masing-masing.

“Pengguna perlu membuat pilihan terbaik sebelum membeli bagi memastikan mereka menikmati minyak masak botol berkualiti sejajar dengan harga,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta pengguna mendapatkan aplikasi ‘Price Catcher’ melalui ‘Appstore’ atau ‘Google play’ bagi membantu membuat perbandingan harga.

Semalam Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan menafikan dakwaan kononnya harga minyak masak paket dijual lebih daripada RM2.50 akibat PKP.

Katanya, mulai November 2016, kementerian itu melaksanakan Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS) dengan memberikan subsidi hanya kepada minyak masak paket sekilogram.
Kerajaan mengekalkan subsidi berkenaan bagi memastikan pengguna menikmati bahan makanan itu pada harga mampu milik.

Views:

641
Kongsi :
Previous post Operasi SAR dua nelayan hilang diperluaskan 36 batu nautika sekitar Pulau Undan
Next post Persiapan Dewan Bistari sebagai PKRC terbaharu giat dijalankan
Ubah saiz-+=