Sorting by

×

Bekalan makanan cukup, dijangka tiada kenaikan mendadak

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BUKIT BARU 11 April – Harga bahan makanan di negeri ini dijangka tidak akan mengalami kenaikan secara mendadak pada musim perayaan tidak lama lagi.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata Melaka mempunyai bekalan makanan yang mencukupi khususnya stok telur.

“Harga bekalan makanan di Negeri Melaka ini akan dikawal sebaik mungkin. Sekiranya berlaku kenaikan harga kita akan lihat apa puncanya.

“Malah saya juga percaya menjelang musim perayaan ini kerajaan akan melaksanakan program harga siling bagi beberapa bahan makanan utama termasuk ayam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Membeli Belah Baju Raya, di sebuah gedung menjual pakaian, di sini, petang tadi.

Dr. Muhamad Akmal berkata, pasukan penguat kuasa juga akan melakukan pemantauan harga barangan makanan dari semasa ke semasa selain mengesan peniaga culas yang cuba mengambil kesempatan.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu berkata, Program Membeli Belah Baju Raya itu bertujuan menceriakan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan dan anak yatim sekitar Parlimen Jasin.

“Pada hari ini, lebih 200 anak-anak kita bawa ke gedung pakaian ini untuk mereka memilih sendiri persalinan baju raya.

“Program tahunan ini dijayakan dengan sokongan dan sumbangan beberapa pihak termasuk individu prihatin yang mahu berkongsi rezeki bersama anak-anak daripada keluarga kurang mampu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2485
Kongsi :
Previous post Imam ditikam ketika solat Subuh di New Jersey
Next post Tiga penunggang motosikal maut, seorang parah selepas langgar belakang lori
Ubah saiz-+=