Bekalan keperluan asas di Melaka mencukupi
AYER KEROH 27 Nov. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Melaka memberi jaminan bekalan barangan keperluan di Melaka sentiasa mencukupi meskipun berdepan bencana banjir di beberapa daerah dalam negeri.
Pengarahnya Norena Jaafar berkata, pihaknya sentiasa memantau barangan keperluan seperti minyak masak, gula, tepung, telur, beras dan juga ayam bagi memastikan bekalannya tidak terjejas.
“Untuk makluman semua, KPDNHEP Melaka telah melantik 58 pemborong daerah terpilih (DDW), 140 peruncit daerah terpilih (DDR) dan juga sejumlah mini stok dari senarai DDW yang terdiri dari para peniaga barangan keperluan di seluruh negeri Melaka yang berperanan sebagai pembekal dan juga pengedar.
“Kesemua peniaga ini perlu memberikan laporan status kedudukan barangan keperluan kepada KPDNHEP secara harian bagi memastikan bekalan keperluan sentiasa mencukupi untuk pengguna di Negeri Melaka.
“Sehingga 26 November 2020, tiada sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan makanan di pasaran yang diterima. KPDNHEP Melaka melakukan pemeriksaan setiap hari bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan dan bekalan makanan di pasaran sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan setiap pengguna di Negeri Melaka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Norena turut mengingatkan semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan memandangkan pihaknya sentiasa bersedia melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku.
“Pengguna juga perlu menjadi mata dan telinga KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan.
“Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan juga ingin menyalurkan aduan, orang ramai khususnya rakyat Negeri Melaka boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari seawal jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang atau menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Putrajaya di talian 03-88826088 yang beroperasi 24 jam setiap hari,” tambahnya.