Bekalan bawang dijamin cukup, harga terkawal
PENGKALAN BATU 6 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan barangan kering seperti bawang besar import masih mencukupi untuk menampung keperluan sepanjang musim perayaan.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, bawang besar merah, kuning dan bawang putih tersenarai antara 22 barangan yang diwartakan Skim harga maksimum musim perayaan (SHMMP) .
Jelasnya, setakat ini bekalan bawang diimport dari Pakistan, India selain China dan dijual sekitar RM5.00 sekilogram.
Selain itu katanya, turut tersenarai dalam SHMMP ialah daging lembu tempatan dan import, daging kerbau import, tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang dan timun.
“Turut tersenarai, sawi hijau, halia tua, ubi kentang import, cili kering, kacang tanah, kelapa, ikan kembung, selayang dan tongkol.
“SHMMP yang dilancarkan ini akan berkuatkuasa dari 5 April hingga 19 April depan dengan tempoh pelaksanannya adalah selama 15 hari iaitu lima hari sebelum Aidilfitri, sehari semasa perayaan dan sembilan hari selepas perayaan.
“Skim ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutuan (AKHAP) 2011, sekali gus membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pelancaran SHMMP Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 diadakan di sebuah pasar raya di Peringgit, di sini, semalam yang turut dihadiri Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar.
Dalam pada itu ujarnya, pemantauan berterusan akan dilaksanakan penguatkuasa bagi memastikan kadar harga barangan yang ditetapkan terkawal.
“Pemeriksaan akan terus dilaksanakan berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.
“Tindakan tegas akan diambil terhdap mana mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.