Bekalan ayam segar cukup
DUYONG 25 Mei – Peniaga ayam segar di negeri ini memberi jaminan bekalan bahan mentah itu mencukupi walaupun terdapat penutupan sementara sebuah kilang memproses ayam di Masjid Tanah akibat penularan wabak COVID-19, Sabtu lalu.
Peniaga Mohd Zahir Abdul Rahim, 33, ketika ditemui berkata, setakat ini penutupan kilang itu tidak memberi kesan kepada perniagaannya.
“Buat masa ini tidak memberi kesan kepada saya sebab kita tak ambil bekalan ayam dari sana, sebaliknya memang ada pembekal daripada syarikat lain.
“Berniaga alhamdulillah…cuma terjejas sikit disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini apabila pelanggan berkurang,” katanya yang berniaga di Duyong.
Katanya setiap hari dia membekalkan kira-kira 90 ekor ayam segar buat pelanggannya.
“Setiap hari kita bekalkan dalam 90 ekor ayam segar, tapi hujung minggu dalam 130 hingga 150 ekor ayam segar.
“Saya ambil ayam daripada pembekal Melayu di Sungai Putat dan Semabok, setakat ini harga ayam masih sama dulu RM9.30 sekarang turun sikit RM9 sekilogram,” katanya sudah 12 tahun berniaga di situ.
Seorang lagi peniaga, Firdaus Bahrin, 42, turut menyatakan perkara yang sama dan tidak mengalami masalah kekurangan bekalan ayam segar.
“Setakat ini bekalan ayam tak terkesan sangat kerana saya ambil dari pembekal di Merlimau jadi tidak terbabit dengan kilang yang diarahkan tutup sementara itu.
“Sekarang harga ayam ada turun skit berbanding masa kawalan, sebelum ni RM8.50 sekilogram tapi sekarang RM8 saja.
“Bila kita dapat harga murah dari pembekal, jadi kita jual dengan harga yang lebih murah,” katanya.
Firdaus berpesan supaya kilang-kilang pemprosesan ayam menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat selepas ini.
“Pesanan kepada kilang-kilang proses ayam jagalah SOP, mana-mana pekerja termasuk warga asing kena buat saringan teliti apatah lagi kes COVID-19 di Melaka pun sudah tinggi,” katanya lagi.
Terdahulu MHI melaporkan kilang memproses ayam terbesar di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah diarahkan menghentikan operasi mulai 22 Mei hingga 4 Jun depan.
Ia selepas 175 pekerjanya rata-rata adalah pekerja asing disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian calitan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.