Bekalan alat ganti peranti pintar kurang, harga melonjak tinggi
AYER KEROH 24 Jun – Permintaan ibu bapa terhadap peranti digital untuk kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) saban hari semakin meningkat, namun bekalan alat ganti yang dijual di pasaran semakin sukar didapati.
Itu antara situasi yang berlaku di Melaka ketika ini menerusi tinjauan yang dilakukan Melaka Hari ini.
Pekerja Kedai Komputer Global We Shop Melaka, Mohamad Firdaus Othman berkata, meskipun dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kedai membaiki serta menjual alat ganti komputer tidak dibuka, hampir setiap hari dia menerima panggilan daripada pelanggan untuk membaiki peranti itu.
Katanya kebanyakan mereka terdiri daripada ibu bapa yang mempunyai anak bagi sesi PdPR.
“Hampir setiap hari dapat panggilan daripada pelanggan untuk membaiki komputer riba dengan masalah seperti ‘cursor’ rosak, skrin bermasalah, tukar papan kekunci atau ‘motherboard’ (papan induk).
“Namun bekalan alat ganti agak terhad dan harga pekedai dapat dari pembekal agak tinggi untuk dijual kepada pelanggan.
“Disebabkan jurang harga yang tinggi, ramai dalam kalangan pelanggan memilih untuk membeli komputer riba terpakai yang bagi saya sebenarnya tidak sesuai untuk kaedah PdPR,” katanya.
Sementara itu, pengusaha kedai komputer, Mohammad Afiq Mohammad Nazri berkata dia yang menjalankan khidmat membaiki komputer turut terkesan apabila rata-rata pelanggannya meluahkan rasa tidak puas hati ekoran harga alat ganti yang tinggi.
Menurutnya, harga alat ganti peranti komputer sukar didapati dan jika ada stoknya agak terhad dan mahal.
“Perkara tersebut berlaku dalam pasaran dunia, apabila pengeluar komputer seperti Lenovo turut mengeluarkan kenyataan di mana mereka hanya berjaya memenuhi permintaan sekitar 60 ke 70 peratus sahaja disebabkan kesukaran mendapatkan komponen.
“Dalam masa PKP ini, saya hanya mampu beri servis membaiki dan terpaksa mengenakan caj yang tinggi kepada pelanggan yang sanggup untuk membayar harga ditetapkan memandangkan kami turut mendapat harga sedemikian dari pihak pembekal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.