
BEKALAN AIR DI MELAKA MENCUKUPI SEPANJANG RAMADAN, SYAWAL
BEMBAN 28 Februari – Melaka tidak berdepan krisis air sepanjang Ramadan dan Syawal ini meskipun taburan hujan di kawasan empangan berkurangan sejak kebelakangan ini.
Jaminan itu diberikan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer yang memaklumkan Kerajaan Negeri menerusi Badan Kawal Selia Air (BKSA) sudah bersedia dengan pelbagai pelan awal untuk mengelakkan sebarang gangguan.
Beliau memaklumkan, meskipun paras air di Empangan Durian Tunggal menurun 0.1 hingga 0.5 peratus sejak akhir bulan lalu iaitu pada paras 89.8 peratus setakat 27 Februaru, namun paras di dua lagi empangan iaitu Empangan Jus dan Empangan Asahan mencapai tahap takungan penuh iaitu 95.8 peratus dan 100 peratus.
“Jadi, rakyat tidak perlu bimbang terhadap bekalan air, di mana ia mencukupi bagi kegunaan sepanjang Ramadan dan Syawal ini, melainkan akan ada sedikit gangguan sekiranya berlaku paip pecah di lokasi tertentu.
“Di pihak Kerajaan Negeri, kita turut bersedia dengan langkah-langkah mengatasi masalah bekalan, termasuk membuat pengepaman air dari Johor dan menggunakan kolam-kolam alternatif yang ada di Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Taman Teknologi Jerman (GTP) yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kawasan Bandar Hijau, Mukim Ayer Panas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zakar serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MCORP Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid; Timbalan Pengarah Eksekutif Malaysian German Chamber Of Commerce (MGCC) Tara Meite serta lain-lain kenamaan.
Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau memaklumkan bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat, Kerajaan Negeri sedang dalam proses membina Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih yang bakal membekalkan kapasiti 95 juta liter air sehari, di mana fasa pembinaanya bermula tahun ini.
Selain itu, Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal yang dinaik taraf menjadi kolam dwifungsi untuk tebatan banjir dan sumber air Negeri Melaka pula sedang dalam proses pembinaan untuk menampung permintaan air di seluruh negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.