Bekalan air di Melaka dijangka bertahan hingga Ogos
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Kerajaan Negeri telah mengambil langkah awal dengan memastikan semua kawasan tadahan air berada pada tahap maksimum ketika ini.
“Semua kolam tadahan berada pada paras 100 peratus bersedia, walaupun fenomena El Nino dijangka melanda Negeri Melaka dalam tempoh kemarau ini. Kerajaan Negeri dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bersedia untuk menjadualkan bekalan air.
“InsyaAllah kita boleh bertahan sampai bulan Ogos jika berlaku kemarau, ini adalah pelan jangka pendek kita.
“Setakat 2 Mei lalu kapasiti bacaan air di Empangan Durian Tunggal adalah 99.7 peratus, manakala Empangan Jus dan Empangan Asahan merekodkan 100 peratus ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di sini, hari ini.
Rumah terbuka berkenaan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Negeri Melaka.
Ujarnya, Kerajaan Negeri juga berusaha memastikan kadar penyuraian bagi pembahagian air akan dilaksanakan ke seluruh kawasan secara berjadual.
“Kita memang sudah bersedia, kalau tiada hujan pun memang kita sudah bersedia, kita sudah rancang yang terbaik.
“Insya-Allah setakat ini empangan kita berada pada paras maksimum, kita berusaha memastikan kadar penyuraian pembahagian air akan dibuat ke seluruh kawasan secara berjadual,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.