Sorting by

×

Beberapa kawasan di tiga negeri dikenakan PKPD- Ismail Sabri

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR 21 Mei. – Beberapa kawasan termasuk sebuah kampung di Tawau, Sabah; dua asrama pekerja di Kluang, Johor; dan sebuah kampung serta Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur; dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 23 Mei hingga 5 Jun.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya hari ini berkata, PKPD di Kampung Pagar Sungai Imam, Tawau; Asrama Pekerja Kilang Oceanic Fabric Mill dan Asrama Pekerja Kilang Purnabina di Kluang; serta Kampung Batu Muda Tambahan dan PPR Kampung Limau, Kuala Lumpur; dilaksanakan, setelah Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes di lokaliti terlibat, dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 35 ujian saringan di Kampung Pagar Sungai Imam di Tawau, dan 24 daripadanya disahkan positif COVID-19,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, KKM telah melaksanakan 33 ujian saringan di asrama pekerja kilang Oceanic Fabric Mill, dan daripada jumlah itu 25 individu didapati positif COVID-19.

“Sebanyak 31 kes positif direkodkan di asrama pekerja kilang Purnabina di Kluang hasil daripada 99 ujian saringan,” katanya.

Beliau berkata di Kuala Lumpur, 76 kes positif direkodkan di Kampung Batu Muda Tambahan, manakala di PPR Kampung Limau sebanyak 59 penduduk disahkan positif COVID-19.

Sementara itu, katanya PKPD di tiga perkampungan dalam Mukim Bunut Susu di Pasir Mas, Kelantan iaitu Kampung Paya Ular, Kampung Bechah Palas dan Kampung Tualang, yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan mulai 23 Mei hingga 5 Jun.

Ismail Sabri berkata, sehingga kini KKM mendapati masih berlaku penularan serta terdapat kes baharu dilaporkan di ketiga-tiga lokaliti tersebut.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, beliau berkata sebanyak 550 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP, di mana 532 individu dikompaun, 17 direman manakala seorang lagi dijamin.

Kesalahan tertinggi direkodkan ialah gagal merekod butiran diri atau mendaftar ketika masuk premis iaitu 193 kes, diikuti tidak memakai pelitup muka (122 kes), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (72 kes), tiada penjarakan fizikal (57 kes), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (empat kes), mengadakan rumah terbuka (satu kes) dan lain-lain kesalahan (101 kes).

Ismail Sabri juga berkata, dalam usaha membendung penularan COVID-19 ketika ini orang ramai tidak boleh mengharapkan petugas barisan hadapan semata-mata, jika tiada sebarang usaha dilakukan atau ditanam dalam diri seseorang.

“Pentingnya kita memupuk kesedaran mengenai COVID-19 kerana pada masa yang sama, kita sebenarnya membantu pasukan barisan hadapan untuk membendung pandemik ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post Guru matematik meninggal dunia disahkan positif COVID-19
Next post COVID-19: Malaysia terima 1.059 juta dos vaksin AstraZeneca, Coronavac
Ubah saiz-+=