Sorting by

×

Bebanan penyokong faktor MFL kekal harga tiket perlawanan akhir

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR 26 Nov – Memahami bebanan kewangan penyokong yang terjejas susulan pandemik COVID-19, antara faktor utama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan mengekalkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam berkata keputusan tersebut dibuat Sekretariat MFL dan diluluskan Ahli Lembaga Pengarah badan induk itu dalam mesyuarat sebelum ini.

“Ini satu keputusan besar yang terpaksa diambil dan sekarang bukan masa untuk kita menaikkan harga tiket walaupun kos operasi amat tinggi.

“Ia pertimbangan yang agak mendalam pada tahap (peringkat) Sekretariat tetapi keputusan ini saya rasa berpatutan dibuat kerana kita faham beban penyokong,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan mengekalkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyambut ulang tahun ke-100 penganjurannya tahun ini.

Ia perlawanan akhir pertama saingan berprestij itu sejak pandemik COVID-19 yang menyaksikan saingan edisi 2020 terpaksa dibatalkan menjelang aksi peringkat suku akhir susulan ketidaktentuan ancaman wabak itu.

Pada masa sama, Stuart berkata MFL sedar langkah itu menyebabkan pihaknya hanya memperoleh pendapatan terhad daripada hasil penjualan tiket, namun mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi perkara itu.

Katanya, MFL sangat berhemah dalam memastikan segala perbelanjaan dapat menjana keuntungan dan sudah menjangkakan anggaran pulangan yang bakal diperoleh hasil penjualan tiket.

Empat jenis tiket akan dijual iaitu bermula serendah RM50 sehingga harga tertinggi iaitu RM150 dan tiket dikelaskan mengikut empat tier bermula kemasukan umum (RM50 dan RM70), kemasukan umum premium (RM80) dan grandstand premium (RM150).

Sementara itu, dalam memastikan kelancaran perlawanan, Stuart berkata MFL akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan penonton dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berada pada tahap terkawal.

“Walaupun hanya 20,000 penonton bakal memuatkan stadium, perkara itu tidak diambil ringan atas beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini. Ia telah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) dan PDRM dalam memastikan tatacara penyokong dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

670
Kongsi :
Previous post Ab Rauf dahului angkat sumpah Exco Melaka
Next post Melaka bakal amalkan agenda politik matang
Ubah saiz-+=