Bazar Ramadan platform PMKS pasarkan produk

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KLEBANG 28 Mac – Penganjuran Glam Ramadan Bazar Klebang dilihat sebagai platform terbaik buat usahawan dan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam memasarkan produk keluaran mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata, daripada jualan di bazar itu, peniaga PMKS ini dapat menilai tahap keupayaan produk mereka sekaligus membantu pemasaran yang lebih meluas.

“Di bazar ini ia membabitkan pelbagai jenis perniagaan sama ada pakaian, kasut mahupun makanan untuk sambutan hari raya.

“Jadi ini adalah platform terbaik untuk kita melatih para usahawan dan peniaga PMKS khususnya yang baru mula berniaga untuk memasarkan serta menjual produk yang mereka ada.

“Malah bagi mereka yang ada hasilkan produk jenama sendiri pula ini juga tempat terbaik untuk mereka uji pasaran sama ada ia mendapat sambutan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan melawat gerai jualan di Glam Ramadan Bazar Klebang yang turut disertai Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin, malam Isnin.

photo_2023-03-27_10-54-13
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong. Foto: MR. AZLI

Menurut beliau, bazar Ramadan di Klebang ini pada suatu masa dahulu hanya bazar kecil sahaja namun kini menjadi daya tarikan dan paling ikonik di Melaka.

“Untuk itu bagi memastikan penganjuran bazar ini berlangsung dengan baik, pihak penganjur diharap dapat mematuhi dan mengikut garis panduan yang sudah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Ini penting kerana lokasi ini menjadi tumpuan dan ikon bukan sahaja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang malah untuk Melaka selain ia turut dikunjungi oleh pelancong luar,” katanya.

Bazar Ramadan Klebang itu, menempatkan seramai 177 gerai selain turut menawarkan hadiah keseluruhan cabutan bertuah bernilai RM50,000 dengan hadiah utama ditawarkan sebuah Proton Saga dan juga motosikal Yamaha Y16ZR.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1244
Kongsi :
Previous post Dedah amalan hijau kepada penjawat awam, pemain industri
Next post Dua lelaki ditahan bantu siasatan pukul pemandu treler
Ubah saiz-+=