Sorting by

×

BAZAR IKONIK MUDAH DIAKSES, PENUHI CITARASA PENGUNJUNG

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 9 Mac – Bazar Ikonik Banda Hilir kini menjadi salah satu platform penting bagi mempamerkan dan mempromosikan produk tradisional, sekali gus membuka peluang kepada pengunjung mengenali sejarah Melaka.

Pendekatan diambil oleh Kerajaan Negeri ini bukan sahaja memeriahkan kawasan bersejarah itu, tetapi memberi ruang mempromosikan budaya tempatan kepada pengunjung dari seluruh dunia.

Bagi Marina Sahabudin, 42, dia menyambut baik inisiatif ini kerana bukan sahaja mudah diakses masyarakat setempat, tetapi memberi peluang kepada pelancong luar negara untuk mengenali lebih dekat produk tradisional di Melaka.

“Pakaian dan makanan dijual di sini sangat banyak, bukan itu sahaja lokasinya memudahkan saya untuk singgah kerana terletak berdekatan dengan tempat tinggal.

“Apa yang membuatkan saya tertarik adalah pilihan baju raya, terutamanya baju kebaya kanak-kanak, serta dekorasi bazar yang sangat menarik.

“Bazar ini memberi kesan positif terhadap ekonomi tempatan dan jika dilaksanakan pada setiap hujung minggu, ia akan lebih meriah dan memberi manfaat kepada ramai pihak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Mohd Shahril Sharani, 40, juga menyokong inisiatif ini, melihat bazar ikonik sebagai satu cara untuk mempromosikan warisan sejarah Melaka.

“Bazar ini mempamerkan keindahan sejarah Melaka kerana ia terletak dekat dengan Kota A’Famosa. Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk berbelanja sambil menikmati keindahan dan nilai sejarah di sekitarnya,” katanya.

Shahril yang sudah menjadi pengunjung tetap sejak bazar dibuka melihat bahawa sambutan di bazar ikonik sangat menggalakkan.

“Bazar ini bukan sekadar tempat membeli-belah, tetapi juga sebuah pengalaman yang memajukan budaya, sejarah dan seni warisan tempatan.

“Dengan sokongan daripada orang ramai dan peniaga tempatan, Bazar Ikonik Banda Hilir berpotensi untuk terus berkembang sebagai pusat budaya yang menarik minat pelancong sambil memberi manfaat kepada ekonomi setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post DUA ANGGOTA POLIS ANTARA 55 INDIVIDU DITAHAN DI PUSAT HIBURAN
Next post LEBIH 2,000 PENCINTA ALAM SAKSI KEHADIRAN BURUNG HIJRAH