
BAZAR IKONIK BAWA IMPAK, AKAN DITERUSKAN TAHUN DEPAN – KM
BANDA HILIR 9 Mac – Bazar Ikonik Banda Hilir bukan sahaja menjadi satu tarikan baharu di Negeri Melaka, bahkan berpotensi menjadi bazar Ramadan tahunan selepas menerima sambutan luar biasa sejak dibuka.
Menurut Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, inisiatif memindahkan lokasi bazar Jalan Hang Tuah ke Banda Hilir pada mulanya menjadi persoalan ramai memandangkan kawasan itu belum pernah dijadikan tumpuan utama sepanjang Ramadan.
Namun, jelas beliau, sejak memulakan operasi lebih awal iaitu pada penghujung bulan lalu, bazar berkenaan telah memberi impak positif kepada peniaga.
“Saya difahamkan peniaga di sini berjaya melunaskan bayaran sewa mereka dalam tempoh singkat iaitu selepas tujuh hari berniaga, sekali gus membuktikan potensi besar lokasi ini sebagai pusat perniagaan baharu.
“Saya mengilhamkan bazar ini sebagai satu tarikan baharu di Melaka, dan kini ia terbukti berjaya menarik ramai pengunjung, termasuk pelancong asing yang ingin membeli-belah sambil menikmati keunikan kawasan bersejarah ini.
“Dengan sambutan luar biasa ini, saya berharap bazar ikonik ini dapat diteruskan tahun hadapan agar lebih ramai peniaga dapat meraih manfaat serta mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Walkabout ke Bazar Ikonik Banda Hilir, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan Setiausaha Bandaraya MBMB Muhammad Firdaus Shariff.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, bazar ikonik itu menempatkan seramai 160 peniaga yang memulakan operasi perniagaan bermula jam 3 petang hingga 3 pagi.
“Ini menjadikannya bazar ini satu-satunya bazar Ramadan di negeri Melaka yang beroperasi dalam tempoh panjang sehingga larut malam.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada MBMB yang memberi kerjasama penuh dalam menyelia dan menyelenggara kawasan bazar ini.
“Selain itu lokasi bazar yang strategik ini turut memudahkan penduduk tempatan dan pelancong untuk mendapatkan pelbagai keperluan dalam satu tempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.