Sorting by

×

BAZAR IKONIK BANDA HILIR DITERUSKAN SETIAP TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

PAYA RUMPUT 1 April – Kerajaan Negeri memutuskan bahawa penganjuran Bazar Ikonik Banda Hilir akan diadakan pada setiap tahun selepas penganjuran kali pertama Ramadan lalu mendapat sambutan luar biasa.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, meskipun pada peringkat awal penganjurannya dijangka akan kurang mendapat sambutan namun jangkaan itu meleset apabila Bazar Ikonik Banda Hilir dibanjiri pengunjung tempatan dan luar negara.

Katanya, lebih mengujakan apabila Bazar Ikonik Banda Hilir dan Glam Bazar Klebang terpilih antara 10 bazar terbaik di Malaysia oleh Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selain Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kerajaan Negeri memutuskan kita tetap akan menganjurkan bazar Aidilfitri ini pada setiap tahun di sama.

“Ini bagi merancakkan sektor ekonomi pelancongan dan membantu peniaga kecil yang mencari rezeki pada bulan Ramadan. Alhamdulillah limpahan hasil inisiatif dilaksanakan juga dinikmati oleh pengayuh beca apabila menerima pelancong pada bulan Ramadan, ini satu perkembangan yang luar biasa.

“Meskipun jangkaan peringkat awal kurang mendapat sambutan namun jangkaan itu meleset apabila hasilnya menunjukkan ramai peniaga mendapat pulangan awal dan boleh membayar sewa kepada penganjur dengan lebih awal,” katanya.

Terdahulu Ketua Menteri bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz, hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Kompleks Sukan Komuniti Krubong, di sini, hari ini.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan isteri Datin Ernie Aidilia Karim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput serta barisan kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, kedudukan yang strategik dan menarik antara tarikan kepada pengunjung serta pelancong untuk datang ke bazar berkenaan yang dikendalikan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Sudah tentu pada penganjuran akan datang lebih banyak penambahbaikan akan dilakukan sama ada di pihak Kerajaan Negeri sendiri mahupun MBMB.

“Kita akan pastikan limpahan rezeki ini akan dapat dirasai oleh banyak pihak dan dapat pedapatan tambahan pada bulan Ramadan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

688
Kongsi :
Previous post RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DUN PAYA RUMPUT JADI MEDAN PERPADUAN
Next post UP TOWN PAYA RUMPUT BEROPERASI SELEPAS AIDILADHA