Bazar ditutup: Melaka terselamat, tapi jangan ambil mudah

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

JASIN 30 April. – Arahan penutupan 22 bazar Ramadan di tujuh negeri di Semenanjung oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mulai esok berikutan penularan pandemik COVID-19 perlu dijadikan iktibar oleh orang ramai di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, walaupun bazar di Melaka tidak termasuk dalam senarai itu, namun ia bukanlah satu berita gembira, sebaliknya peringatan buat semua untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tegasnya, sekiranya rakyat negeri ini tidak mahu melihat bazar Ramadan dan Aidilfitri ditutup hanya beberapa belas hari menjelang Syawal, arahan yang diberikan terutama membabitkan aspek penjarakan fizikal perlulah dipatuhi.

“Saya dimaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada hari ini bahawa ada dalam kalangan individu positif COVID-19 telah masuk ke bazar Ramadan dan Aidilfitri yang telah dikesan menerusi aplikasi MySejahtera.

“Jadi mungkin itulah sebabnya beberapa bazar di negara ini ditutup. Bila dah tutup, bagaimana dengan mereka yang sudah membayar sewa sehingga sebulan? Bagaimana pula yang sudah mempunyai stok barangan yang perlu dihabiskan sehingga raya?

“Sebab itulah saya minta sangat-sangat agar bukan saja penganjur dan peniaga bazar, tetapi pengunjung juga perlulah beri kerjasama yang baik bagi membolehkan rakan-rakan kita yang berniaga dapat meneruskan perniagaan mereka sehingga Aidilfitri nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan dan merasmikan ladang jagung Komong Jasin Berhad anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA), Datuk Wira Ghazalee Muhammad serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Mengulas lanjut, Sulaiman turut menyeru orang ramai agar tidak membawa anak-anak kecil ketika berkunjung ke bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini memandangkan golongan itu juga mudah dijangkiti wabak COVID-19.

Menurutnya, adalah lebih baik jika hanya seorang sahaja dalam satu rumah keluar untuk membeli apa jua barangan yang diperlukan untuk perayaan nanti bagi mengurangkan risiko bersesak-sesak di tempat tumpuan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

583
Kongsi :
Previous post UniMEL bakal dilancarkan tahun ini
Next post Sembilan warga China ditahan dalam Op Pelican
Ubah saiz-+=