Sorting by

×

Bazar Aidilfitri klebang kurang meriah, peniaga suram

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

KLEBANG 12 Mei. – Suasana hari terakhir operasi Bazar Aidilfitri Klebang malam semalam suram tanpa gelagat riuh rendah peniaga melelong barangan jualan mereka seperti lazimnya pada tahun-tahun sebelumnya.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di bazar itu sekitar 11 malam mendapati sebahagian peniaga sibuk mengemas peralatan perniagaan dan ada juga lot perniagaan yang sudah ditinggalkan kosong, susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) berkuat kuasa tengah malam tadi hingga 7 Jun depan.

Pengunjung juga tidak bersesak-sesak memasuki kawasan bazar dan ia berlangsung dalam suasana santai apabila mereka tidak perlu beratur panjang.

 

AZMAN.

Seorang pengunjung, Azman Azmi, 20, berkata, dia hanya berlegar di sekitar bazar selama 15 minit bagi meninjau barangan menarik yang dijual di situ.

Namun, katanya, tidak lama selepas itu dia memutuskan untuk pulang ke rumah segera setelah mendapati tiada apa yang menarik perhatiannya di situ.

“Saya berniaga sendiri jadi tidak cukup masa untuk membuat persiapan Hari Raya, sebab itu saya datang ke sini dari Krubong untuk membeli pakaian.

“Tetapi saya agak hampa kerana tidak banyak pakaian yang dijual kerana banyak kedai sudah tutup, malah tiada peniaga yang melelong harga murah walaupun hari ini (semalam) hari terakhir Bazar Klebang beroperasi,” katanya ketika ditemui.

MOHD ALIF.

Bagi rakannya, Mohd. Alif Najmi, 18, berkata, setiap tahun dia tidak ketinggalan mengunjungi bazar tersebut untuk membeli kelengkapan pakaian Hari Raya, namun tahun ini dia agak hampa kerana tidak memperolehi barangan yang diharapkan.

“Mungkin disebabkan PKP maka banyak peniaga menutup awal operasi niaga mereka sebab itu barang tidak banyak lagi di bazar,” ujarnya.

NURNAJIHAH.

Selain itu menurut Nurnajihah Ibrahim, 21, dia gemar berkunjung ke bazar pada saat-saat akhir kerana ketika itu ramai peniaga melelong barangan mereka pada harga yang murah.

Namun katanya, jangkaannya tahun ini meleset kerana peniaga sudah berkemas menutup kedai mereka lebih awal dan tinggal hanya peniaga menjual aksesori telefon bimbit dan permainan kanak-kanak.

Sementara itu, seorang peniaga pakaian Bazar Aidilfitri Klebang, Mawardi Abdul Halim, 37, berkata, peniaga di situ diarah menghentikan operasi pada jam 11.30 malam namun tidak semua peniaga di situ bersetuju dengan arahan itu.

MAWARDI.

“Sebelum ini kita boleh berniaga sehingga pukul 2 atau 3 pagi, maklumlah malam-malam akhir menjelang Aidilfitri masih ramai pembeli yang membuat persiapan akhir.

“Namun, disebabkan PKP 3.0 segalanya sudah berubah, peniaga perlu akur dengan arahan pihak berkuasa. Kalau nak dikira memang ramai peniaga rugi tahun ini,” katanya.

Intan Nazirah Zainal Abidin, 35, berkata, ada rakannya yang mengusahakan jualan pakaian terpakai di bazar itu mengeluh kerana untuk mendapatkan hasil jualan RM10 sehari di situ agak sukar.

“Bayangkan, kasut terpakai kebiasaannya dijual sekitar RM50 hingga RM70 sepasang, terpaksa dilelong RM10 demi untuk menghabiskan stok barangan yang tidak terjual,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

884
Kongsi :
Previous post PKP perlu dilaksana meskipun tidak popular- Muhyiddin
Next post Kluster Sebatu: Korban pertama babitkan wanita berusia 85 tahun
Ubah saiz-+=