Sorting by

×

Bayi tujuh hari putus tangan digigit anjing: Bapa saudara didenda RM1,000

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 20 Nov – Pemasang jubin didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas kecuaian meninggalkan anjing peliharaannya sehingga menyebabkan bayi perempuan berusia tujuh hari putus tangan September lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Gan Tiong Guey, 41, yang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didapati dengan cuainya meninggalkan seekor anjing peliharaan dalam milikannya hingga menyebabkan kecederaan putus tangan kanan seorang bayi perempuan berusia tujuh hari, yang juga adalah anak saudaranya.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 9 pagi di Taman Widuri Bachang pada 8 September lalu.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung lima anak berusia sembilan hingga 20 tahun, selain ibu bayi berkenaan juga tidak mahu memanjangkan kes terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan termasuk mengambil kira kecacatan seumur hidup yang terpaksa dilalui bayi berkenaan selain sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dikenakan denda RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, isteri tertuduh, Heng Chiew Lian, 39, turut didakwa atas pertuduhan sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas bayi sama telah mengabaikan atau mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh didakwa mengikut Sekyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Chiew Lian bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000.

Mahkamah menetapkan 18 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.

Views:

609
Kongsi :
Previous post Selamatkan anak sawan
Next post Terpedaya ‘cinta’ patung beruang, jururawat rugi RM55,800
Ubah saiz-+=