Bayi maut: 15 pokok rhu di Pantai Puteri ditebang

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PANTAI KUNDOR 13 November – Dianggarkan 15 batang pokok rhu di Pantai Puteri, di sini, akan ditebang secara berperingkat, susulan insiden kematian seorang bayi lelaki berusia setahun tiga bulan, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi berkata, tindakan menebang pokok yang sudah tua dan berusia lebih 23 tahun itu dijalankan secara berperingkat oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bermula hari ini sehingga Rabu.

Beliau berkata, beberapa ‘hotspot’ telah dikenal pasti di sepanjang 2.5 kilometer pantai berkenaan yang mana pemantauan berterusan akan dijalankan bagi mengelakkan insiden sama berulang.

“Daripada 300 pokok di pantai ini, kita telah kenal pasti 15 pokok yang condong ke laut dan jalan raya yang mana strukturnya juga telah dikesan tidak lagi kukuh.

“Selain itu, kita juga mengesan pokok tua berhampiran pangkalan nelayan Pengkalan Perigi dan Pantai Jaring yang akan dijalankan proses penebangan pada Rabu memandangkan nelayan memerlukan masa untuk mengalih peralatan mereka,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuminah berkata, pihaknya turut bercadang menggantikan pokok rhu di Pantai Puteri kepada pokok ketapang yang strukturnya lebih kukuh.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan diteliti dan dinilai semula bersama agensi yang terlibat dan Kerajaan Negeri sebelum dilaksanakan secara berperingkat.

“Kita simpati dengan kejadian malang yang menimpa keluarga ini kerana ia adalah pertama kali berlaku.

“Apapun, tindakan susulan akan kita lakukan bagi memastikan pantai ini selamat kepada pengunjung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai yang berkhemah di Pantai Puteri agar sentiasa cakna dengan keadaan cuaca dan faktor sekeliling bagi mengelakkan menjadi mangsa seterusnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2818
Kongsi :
Previous post Aktif temui komuniti Cina
Next post Korek pasir bantu selamatkan mangsa pokok tumbang
Ubah saiz-+=