Bayi disimbah minyak panas: JKM Melaka sedang teliti kes
AYER KEROH 14 Feb – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka sedang menilai dan meneliti kes membabitkan bayi perempuan disimbah minyak panas oleh bapanya di Semabok Dalam yang berlaku 11 Feb lalu.
Pengarah JKM negeri, Burhanuddin Bachik berkata, penilaian dan penelitian itu dilakukan untuk memutuskan sama ada anak-anak pasangan terbabit akan dijaga sementara oleh pihak JKM atau waris keluarga yang layak.
Jelasnya, siasatan yang dilakukan JKM adalah berdasarkan laporan polis.
“Buat masa ini, mangsa iaitu ibu dan bayi stabil dan masih dirawat di Hospital Melaka manakala anak-anak kecil yang lain dijaga oleh saudara ibu mereka.
“Pihak JKM akan meneliti sekiranya anak-anak itu tiada waris yang layak dan sesuai, kita akan letakkan di institusi JKM namun ia bergantung kepada waris dan juga keluarga yang akan menjaga mereka.
“Keutamaan diberi kepada waris dan jika tiada diberi kepada keluarga sebelah ibu sekiranya tiada waris atau keluarga yang boleh menjaga dan sekarang pegawai perlindungan sedang meneliti serta menilai kes ini,” katanya.
Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan bayi perempuan berusia empat bulan cedera di beberapa bahagian badan selepas disimbah minyak goreng ayam oleh bapanya selepas berlaku pertengkaran dengan isterinya akibat cemburu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah mengesahkan kes terbabit dan suspek (suami) kini sedang dalam tahanan reman bermula 12 Feb hingga esok.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.