Sorting by

×

Bayaran STR akan dibayar sebelum Hari Raya Haji – PM Anwar

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa ketiga akan dibayar kepada penerima golongan B40 sebelum sambutan Hari Raya Haji.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembayaran tersebut melibatkan peruntukan melebihi RM2 bilion yang memanfaatkan lapan juta penerima di seluruh negara.

“Selain itu, (bayaran) e-Tunai Belia Rahmah RM 200 dalam kepada belia (berusia) 18 sehingga 21 tahun akan disalurkan sebelum minggu ketiga bulan ini,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN- Parit Sulong) yang ingin tahu pembaharuan dibuat kerajaan dalam pendekatan dan tatakelola undang-undang atau peraturan untuk mengekang ketirisan serta kebocoran wang awam selain sama ada kerajaan akan meneruskan pelaporan perbelanjaan dan pemantauan Belanjawan Negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sejumlah RM158 bilion atau 41 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2023 telah dibelanjakan sehingga Mei lepas dan menyifatkan ia sebagai kapasiti terbaik suku tahun pertama jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.

Beliau memperincikan RM158 bilion tersebut meliputi RM3 bilion bagi bayaran fasa pertama dan kedua STR yang memanfaatkan 8.7 juta penerima; Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam dan lebih 1 juta pesara dan RM3 bilion bagi subsidi bil elektrik.

“RM11 bilion bagi subsidi produk petroleum dan RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan,” kata beliau.

Anwar berkata langkah lain yang dilakukan kerajaan adalah pengecualian duti setem 100 peratus yang diberi bagi pembelian rumah berharga tidak lebih RM500,000 dan pengecualian duti setem 75 peratus bagi pembelian rumah berharga antara RM500,000 sehingga RM1 juta.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga bersetuju agar duti setem ke atas surat cara pindah milik harta tanah secara kasih sayang melibatkan ibu bapa dan anak, datuk nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada RM1 juta pertama nilai harta tanah.

Pada masa sama, beliau berkata dalam usaha mengekang ketirisan daripada terus berlaku, antara tindakan yang diambil kerajaan termasuk memastikan perolehan kerajaan dibuat secara telus dan terbuka.

Katanya kerajaan juga melaksanakan pemberian subsidi lebih bersasar yang berbeza dengan sebelum ini, apabila golongan kaya turut menikmati pelbagai subsidi termasuk subsidi bil elektrik.

“Kerajaan juga mula menamatkan unsur monopoli sepertimana dwirangkaian 5G dan juga import makanan yang akan menyebabkan harga lebih rendah daripada beberapa tahun dahulu,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata perbahasan Laporan Ketua Audit Negara dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Parlimen adalah antara langkah kerajaan untuk mengekang ketirisan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1334
Kongsi :
Previous post PM Anwar tidak puas hati pelaksanaan projek kecil, arah disegerakan
Next post Rondaan lebih kerap elak kecurian benih kerang
Ubah saiz-+=